KERAJAAN NEGERI LULUSKAN PERUNTUKAN SEGERA RM3,000


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama wakil daripada agensi dan jabatan persekutan serta negeri mengadakan lawatan dan menyantuni mangsa kejadian ribut. | Foto ihsan Facebook Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor bersetuju meluluskan peruntukan segera berjumlah RM3,000 bagi setiap isi rumah terjejas dalam kejadian ribut di Kampung Melayu Majidee, dekat Johor Bahru, semalam.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan tersebut diluluskan melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Yayasan Bandaraya Johor Bahru (YBJB) dan Pejabat Menteri Besar Johor.

 

“Saya berkesempatan turun ke kawasan berkenaan bagi menziarah dan mendengar rintihan mangsa yang terlibat serta melihat tahap kerosakan.

 

“Justeru, kerajaan negeri bersetuju untuk meluluskan peruntukan segera bagi setiap isi rumah terjejas melalui MAINJ, YBJB dan Pejabat Menteri Besar Johor masing-masing sebanyak RM1,000,” katanya dalam Facebook rasminya.

 

Terdahulu, Onn Hafiz ditemani Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed bersama wakil daripada agensi dan jabatan persekutan serta negeri mengadakan lawatan bagi melihat sendiri kerosakan yang berlaku selain menyantuni mangsa kejadian ribut, pagi tadi.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah serta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor.

 

Beliau menzahirkan penghargaan kepada kedua-dua EXCO Kerajaan Johor itu yang turut bersama turun padang melihat nasib mangsa terjejas.

 

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Pegawai Daerah Johor Bahru; Ahli Lembaga YBJB, Datuk Yahya Jaafar serta agensi terlibat khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA); Penghulu dan Ketua-ketua Kampung yang bersengkang mata memastikan kebajikan mangsa terpelihara dalam tempoh yang sukar ini,” katanya.

 

Setakat ini, sebanyak 176 kediaman di Kampung Melayu Majidee terjejas akibat kejadian ribut, semalam.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor