LANGKAH SEGERA ATASI MASALAH JALAN DI PASIR GUDANG DAN SENAI – MENTERI BESAR


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan beliau telah meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat yang terbabit bagi mengambil tindakan dan penyelesaian segera berkenaan isu kesesakan Lebuhraya Pasir Gudang dan Senai. | Foto ihsan Facebook Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri Johor akan mengambil langkah segera bagi menjamin keselesaan, keselamatan dan mengurangkan kesesakan yang berlaku di Lebuhraya Pasir Gudang dan Senai.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata beliau telah meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat yang terbabit bagi mengambil tindakan dan penyelesaian segera berkenaan isu tersebut.

 

“Pertama, kerja-kerja pembaikan laluan di sekitar Pasir Gudang dan Senai menghala ke Johor Bahru akan dimulakan segera.

 

“Kerajaan juga bersetuju untuk membina projek jejambat di Jalan Besar dekat Pasir Gudang dan Jalan Penghubung Jalan Cempedak 2 di Taman Kota Masai ke Jalan Nikel, Zon 12C yang akan dimulakan pada Jun ini,” katanya.

 

Beliau turut memaklumkan Lebuhraya Pasir Gudang akan dinaiktaraf daripada empat lorong kepada enam lorong di laluan fasa 2B dari persimpangan Bandar Seri Alam-Taman Rinting ke Pasir Gudang.

 

“InsyaAllah, kerja-kerja baik pulih akan dilakukan segera demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan tersebut,” tambah Onn Hafiz.

 

Terdahulu, Onn Hafiz mengadakan tinjauan di jalan-jalan sekitar Pasir Gudang dan Senai serta turut menzahirkan rasa dukacita melihat keadaan fizikal jalan raya di kawasan berkenaan yang disifatkannya tidak banyak berlaku perubahan sejak lawatannya yang lalu.

 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan & Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Salleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Baharudin Mohamed Taib; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Dato’ Asman Shah Abd Rahman dan Pengarah JKR Johor, Ir Abu Bakar Abd Aziz.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor