KERAJAAN NEGERI PASTIKAN PROJEK BERIMPAK TINGGI LANCAR

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor mengadakan lawatan bagi meninjau enam projek pembangunan di kawasan pentadbiran MBJB. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Kerajaan Negeri komited dalam memastikan projek berimpak tinggi tahun 2025 di negeri ini, supaya berjalan dengan lancar dan teratur mengikut jadual yang ditetapkan terutama menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi 10 projek utama di Johor yang bakal memberikan limpahan manfaat kepada rakyat dan merancakkan lagi pembangunan ekonomi serta pelancongan negeri.
Projek kerja naik taraf dan pembangunan itu melibatkan kawasan rekreasi Hutan Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Taman Merdeka, Kampung Sungai Melayu, fasa 2 Zoo Johor, Pusat Rekreasi Sungai Lebam selain pelebaran jalan Persiaran Abu Bakar Sultan dan Taman Botani Diraja Johor.
Selain itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM106 juta bagi pelaksanaan projek tebatan banjir dalam usaha menangani isu bencana berkenaan di kawasan hotspot yang dikenal pasti di 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.
Menerusi peruntukan berkenaan, tumpuan khusus diberikan kepada kawasan berisiko tinggi berlaku banjir termasuk kejadian berulang antaranya Kampung Mohd Amin dan Kampung Dato Sulaiman Menteri di Johor Bahru.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor mengadakan lawatan bagi meninjau enam projek pembangunan di kawasan pentadbiran MBJB, hari ini.
#ProjekBerimpakTinggi
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor