KERJASAMA STRATEGIK PERKASA EKOSISTEM BOLA SEPAK JOHOR

YB Tuan Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor menjawab pertanyaan YB Puan Hasrunizah Hassan, Ahli Dewan Negeri Johor kawasan Pulai Sebatang pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk terus memperkasa ekosistem bola sepak negeri melalui pelbagai usaha bersepadu yang dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).
Inisiatif yang dilaksanakan secara bersama ini merangkumi pelan pembangunan jangka pendek dan panjang di seluruh daerah di negeri ini dengan turut memberi tumpuan terhadap pembangunan akar umbi menerusi Program Akademi Bola Sepak JDT membabitkan pemain muda di peringkat usia seawal 10 tahun. Ia bertujuan untuk melahirkan generasi baharu pemain berbakat dalam sukan bola sepak, sebelum mereka dapat diketengahkan ke peringkat profesional kelak.
Program latihan di peringkat akar umbi ini juga turut diselaraskan secara sistematik menerusi sokongan pelbagai modul teknikal serta mendapat kepakaran daripada jurulatih berkelayakan dari pusat latihan bertaraf antarabangsa, sekali gus berupaya melonjakkan kualiti latihan pemain muda di seluruh Johor.
Selain itu, Kerajaan Johor turut menyokong pelaksanaan program pembangunan melalui peruntukan kewangan tahunan kepada persatuan bola sepak daerah yang diberikan berdasarkan penilaian dan prestasi masing-masing bagi membolehkan mereka menjalankan program pembangunan bola sepak pada peringkat akar umbi di seluruh negeri ini.
PBNJ juga dikenali sebagai antara persatuan sukan paling cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan pencapaian yang membanggakan negeri hasil dorongan serta sokongan berterusan daripada Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor serta agensi-agensi berkaitan.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor menjawab pertanyaan YB Puan Hasrunizah Hassan, Ahli Dewan Negeri Johor kawasan Pulai Sebatang secara bersekali mengenai perancangan Kerajaan Negeri melahirkan bakat tempatan dalam sukan bola sepak pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
#DewanNegeriJohor
#BakatMudaBolaSepak
#ProgramAkarUmbi
#JDT
#PBNJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor