KESIAPSIAGAAN APM NEGERI JOHOR DI TAHAP TINGGI


Seramai 1,030 pegawai dan anggota meliputi kakitangan tetap, sukarela serta bantuan selain 117 aset terdiri lori, pacuan empat roda, ambulans dan bot dalam keadaan siap siaga yang tinggi untuk mendepani situasi banjir. | Foto Aisyah Mazalan

 

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor bersiap sedia untuk menggerakkan kekuatan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula sejak awal November lalu.

 

Seramai 1,030 pegawai dan anggota meliputi kakitangan tetap, sukarela serta bantuan selain 117 aset terdiri lori, pacuan empat roda, ambulans dan bot dalam keadaan siap siaga yang tinggi untuk tindakan membantu dan menyelamat mangsa banjir.

 

Selain itu, terdapat 5,100 unit khemah kubikel disediakan untuk keselesaan mangsa banjir yang ditempatkan di 1,109 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diwartakan seluruh negeri ini dengan jangkaan mampu memuatkan 275,973 orang dalam satu-satu masa.

 

APM Negeri Johor turut menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat yang menyertai sukarelawan pertahanan awam dengan 1,701 orang sudah menyertai kursus asas pada tahun ini.

 

Penambahbaikan pengurusan pemindahan mangsa juga dilaksanakan menerusi inisiatif Program Tindakan Keselamatan (PROTEK) melibatkan pemasangan plat khas di rumah golongan rentan sebagai keutamaan untuk dipindahkan apabila kediaman dinaiki air.

 

Penugasan APM Negeri Johor juga diperkasa menerusi latihan pengurusan bencana meliputi pengurusan di PPS, penyampaian maklumat dan komunikasi sewaktu bencana selain simulasi bersama agensi lain serta latihan menyelamat menggunakan bot dan peralatan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor