KESIAPSIAGAAN TINGGI PENGOPERASIAN KOMPLEKS CIQ BSI


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh melakukan tinjauan ke Kompleks CIQ Bangunan Sultan Ismail, semalam | Sumber Foto Facebook Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor terus membuat pemantauan di dua pintu masuk negara bagi memastikan kesiapsiagaan dan kelancaran pengoperasian semasa tempoh Aidilfitri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh sekali lagi berkunjung ke Kompleks CIQ BSI semalam.

 

Beliau yang ditemani Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon meninjau persiapan akhir pengoperasian di pintu sempadan negara tersebut.

 

Beberapa isu berbangkit di Kompleks CIQ BSI telah diberikan perhatian agar tidak menjejaskan kelancaran pengoperasian.

 

“Seperti yang dilaporkan dalam meyuarat semalam (kelmarin), terdapat lapan kaunter MBIKE yang tidak boleh digunakan akibat kerosakan struktur kamera litar tertutup (CCTV) dan sensor.

 

“Setelah melihat sendiri di tapak kerosakan yang berlaku dan berbincang secara teknikal bersama agensi serta jabatan berkaitan, tiga kaunter yang mengalami kerosakan CCTV ini boleh beroperasi seperti sedia kala dengan mengoptimumkan penggunaan CCTV sedia ada yang lain dan pembaikan kekal boleh dilakukan selepas ini,” katanya di Facebook rasminya.

 

Mohamad Fazli berkata, lima lagi kaunter MBIKE yang mengalami kerosakan sensor akan dibaiki dengan melibatkan kerja pemasangan semula struktur.

 

Bagi kaunter Sistem Pelepasan Automatik Malaysia (MACS) yang mengalami masalah bekalan kuasa sebelum ini, ujarnya, isu tersebut telah diselesaikan dengan kesemua kaunter MACS boleh digunakan sepenuhnya.

 

“Selain isu-isu teknikal yang telah diselesaikan, koordinasi antara jabatan juga penting khususnya aliran masuk motosikal dan kereta serta penumpang bas yang perlu diselaraskan. Alhamdulillah, saya telah mengadakan mesyuarat koordinasi dengan semua agensi dan jabatan yang berkenaan pada 13 April yang lalu dan tugas-tugas telahpun diselaraskan,” katanya.

 

“Kita doakan agar semua usaha dan perancangan yang telah dibuat ini berjalan dengan baik dan sempurna serta memberi impak positif dan manfaat kepada rakyat Malaysia dan Bangsa Johor secara keseluruhannya,” katanya.

 

Pada 19 April lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengadakan lawatan ke Kompleks CIQ BSI bagi melihat sendiri pengoperasian di pintu masuk negara itu.

 

Beliau menjangkakan kecekapan pengoperasian akan mencapai 100 peratus menjelang tempoh perayaan Aidilfitri ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor