KETEGASAN YANG DI-PERTUAN AGONG DEMI NEGARA DAN RAKYAT
Tanggal 31 Januari yang lalu telah menjadi peristiwa bermakna dan bersejarah dengan bermula tempoh pemerintahan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selama lima tahun.
Pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong XVII disambut penuh gembira seluruh Bangsa Johor berserta rakyat Malaysia amnya apatah lagi Seri Paduka Baginda terkenal dengan imej lantang dan tegas, namun berjiwa rakyat.
Malaysia memerlukan Ketua Negara yang bijaksana dalam memastikan politik stabil serta kehidupan dan perpaduan rakyat terpelihara. Maka sudah tentulah kebitaraan kepemimpinan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim adalah penyelesaiannya.
Bagi Prof. Dato’ Dr. Sivamurugan Pandian, reaksi dan sokongan tulus rakyat Malaysia terhadap pemerintahan Seri Paduka Baginda merupakan cerminan kepada karakter Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang sangat didambakan pada ketika ini.
Penganalisis politik itu berpandangan pemerintahan Seri Paduka Baginda telah membawa naratif baharu kepada corak pentadbiran negara berpaksikan Raja Berperlembagaan yang mengutamakan kesejahteraan dan perpaduan rakyat.
Malah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu turut menyifatkan rakyat Malaysia bertuah memiliki Ketua Negara berani dan vokal yang menjadi pemangkin penting kemakmuran negara.
Ketegasan Seri Paduka Baginda sebagai penaung utama negara secara tidak langsung menjadi tiang seri kestabilan kerajaan dan perpaduan rakyat sekali gus memadam api perkauman yang menggugat keharmonian antara kaum.
Sebagai contoh, titah Seri Paduka Baginda berkaitan isu stoking tertera kalimah Allah yang menjadi polemik pada awal tahun ini telah berjaya meredakan ketegangan selain menjadi pedoman kepada rakyat Malaysia agar menghormati sensitiviti kaum.
Begitu juga dengan ketegasan terhadap usaha memerangi ancaman rasuah selain peringatan kepada 222 Ahli Parlimen agar memikul tanggungjawab untuk bersama membangunkan negara demi kepentingan rakyat yang dilihat begitu signifikan.
Adalah menjadi harapan ketegasan dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda menjadi suri teladan seterusnya membawa dimensi baharu kepada landskap negara yang holistik sekali gus memacu Malaysia ke arah yang lebih gemilang.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor