JDT ‘JUNJUNG’ KEDAULATAN UNDANG-UNDANG


Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos / Stadium Larkin.

 

Sejak Kod Undang-Undang Hammurabi diperkenalkan oleh pemerintah di negeri Babylon pada 1772 sebelum masihi (SM), kehidupan manusia mula ditentukan oleh satu peraturan yang bukan sahaja mengawal tingkah laku tetapi juga menjadi pegangan, etika dan juga gaya hidup pada waktu itu, sekali gus membina ketamadunan negara bangsa yang unggul.

 

Sejajar dengan perkembangan semasa, undang-undang turut berevolusi yang kini bukan terhad kepada manusia semata-mata, tetapi juga ia turut digunapakai untuk institusi mahu pun organisasi supaya setiap apa yang dilakukan adalah memberi keadilan, kesaksamaan dan juga pembelaan kepada semua pihak tanpa ada mana-mana pihak yang tertindas.

 

Di dalam arena sukan sendiri pun tidak terlepas daripada peraturan kerana ia sebenarnya menjadi ‘roh semangat’ kepada entiti sukan itu sendiri, termasuklah sukan bola sepak. Secara umumnya, peraturan bola sepak yang diperkenalkan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) boleh dianggap sebagai perlembagaan tertinggi dalam dunia bola sepak.

 

Sebaliknya, sedikit kelonggaran diberikan oleh FIFA kepada negara-negara untuk menggubal peraturannya sendiri bagi mengelolakan pasukan bola sepak masing-masing. Ini kerana setiap peraturan itu tidak pernah dibuat secara ‘sesuka hati’ tetapi memberi kesaksamaan kepada pasukan kaya-miskin, kuat-lemah dan menterjemahkan apa yang dikatakan sebagai ‘fair play’.

 

Atas semangat kesukanan dan menghormati undang-undang, seawal 2013 lagi, Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) telah menerima hukuman denda yang dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akibat daripada tindakan penyokong Johor yang bertindak membakar suar dan membaling gulungan resit ke dalam padang. Ia sedikit sebanyak turut mengecewakan semua penyokong pada waktu itu.

 

Tidak cukup dengan hukuman terhadap penyokong, pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang pada waktu itu merupakan Presiden PBNJ turut dikenakan hukuman mengikut kod tatatertib FAM, hanya disebabkan Baginda mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia yang tidak berkualiti. Akibatnya, Baginda didenda dan digantung daripada segala aktiviti bola sepak selama enam bulan dan itu pun Baginda akur serta menerimanya dengan hati yang terbuka.

 

Berbicara pula tentang kesalahan pemain di atas padang, aksi suku akhir Piala FA 2017 telah menyaksikan pemain JDT, Nazmi Faiz Mansor dan Afiq Fazail, masing-masing didenda dan digantung perlawanan akibat terjahan selepas melakukan kekasaran dalam perlawanan tersebut. Insiden dan hukuman tersebut telah menjadi topik bualan hangat pakar-pakar bola sepak. Itu pun JDT akur dan menghormati undang-undang yang telah ditetapkan.

 

Masih bercakap mengenai menghormati undang-undang, nilai amaun denda maksima yang pernah dikenakan terhadap JDT adalah pada tahun lalu. RM120,000 adalah harga mahal yang perlu dilunaskan oleh skuad Harimau Selatan sebagai hukuman diatas tindakan penyokong yang menyalakan suar dalam tiga perlawanan Liga Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Sekali lagi JDT akur dengan menjelaskan bayaran denda tersebut tanpa sebarang permohonan rayuan pengurangan kepada badan induk yang menguruskan Liga Malaysia.

 

Sudah terang lagikan bersuluh, jika melanggar undang-undang, hukuman denda akan dikenakan kepada pihak yang bersalah dan mereka tidak wajar mengingkarinya. Sebagai sebuah pasukan yang diuruskan secara profesional, JDT telah membuktikan bahawa mereka akur dengan setiap hukuman denda yang dikenakan oleh pihak berkuasa bola sepak negara, tanpa melibatkan sedikit pun campur tangan pihak luar dan ia dibuat atas semangat kesukanan sehingga meletakkan JDT berada di tahap sekarang.

 

Betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Undang-undang tetap undang-undang dan sewajarnya tidak perlu ada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar mana-mana peraturan. Kita sedang membina ketamadunan dalam dunia bola sepak dan jangan musnahkannya dengan tabiat ‘kawtim tepi’ yang boleh meruntuhkan apa yang sedang kita bina.

 

Akhir kata, Rukun Negara kita juga bukan sekadar mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk Kesetiaan Kepada Raja dan Negara tetapi apa yang yang diinginkan oleh leluhur yang membina negara ini juga mahukan kita semua supaya sentiasa menghormati KEDAULATAN UNDANG-UNDANG !

 

#SudutPandangPenyokong
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor