KHEMAH PERCUMA BANTU USAHAWAN MIKRO BERDAYA SAING

YAB Menteri Besar Johor Dato’ Onn Hafiz Ghazi hadir merasmikan Majlis Pelancaran Insentif Khemah Kepada Usahawan Mikro Daerah Johor Bahru dan turut menyerahkan insentif berkenaan kepada 278 peniaga di Pasar Malam Jalan Kemuliaan Taman Universiti, Johor Bahru. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru- Kerajaan Johor menerusi Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) telah menyediakan inisiatif pemberian 6,000 khemah kepada usahawan di seluruh negeri ini yang dilihat mampu memperkasa sektor perusahaan mikro.

 

Inisiatif pemberian khemah yang membabitkan peruntukan sebanyak RM3 juta ini juga bukan sahaja dapat memberi kemudahan kepada golongan peniaga kecil tetapi pada masa sama dapat memberi naratif imej yang lebih ceria dan selesa serta seterusnya mampu menarik kehadiran lebih ramai pelanggan.

 

Insentif pemberian khemah bersaiz 10×10 meter yang kali kedua dilaksanakan sejak tahun lalu itu secara tidak langsung mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam membantu golongan usahawan untuk meningkatkan pendapatan dan melonjakkan potensi perniagaan mereka.

 

Majlis Penyerahan khemah ini juga dijalankan secara ‘Live Streaming’ bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB); Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG); Majlis Perbandaran Muar (MPM); Majlis Perbandaran Kluang (MPK); Majlis Perbandaran Segamat (MPS); Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT); Majlis Daerah Mersing (MDM) serta Majlis Perbandaran Pengerang (MPP).

 

Sementara itu dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri juga turut berkolaborasi dengan Bank Kerjasama Rakyat bagi tujuan pelaksanaan program BRJohor Niaga. Menerusi kerjasama strategik itu, golongan usahawan mikro di negeri ini berpeluang untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi perbankan berkenaan dengan kadar faedahnya pula akan ditanggung 100 peratus oleh Kerajaan Negeri yang dilihat mampu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh kumpulan niaga berkenaan.

 

Terdahulu, YAB Menteri Besar Johor Dato’ Onn Hafiz Ghazi hadir merasmikan Majlis Pelancaran Insentif Khemah Kepada Usahawan Mikro Daerah Johor Bahru dan turut menyerahkan insentif berkenaan kepada 278 peniaga di Pasar Malam Jalan Kemuliaan Taman Universiti, Johor Bahru.

 

Turut hadir ialah YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PUJB dan YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor

 

Hadir sama ialah YB Dato‘ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) dan YB Dato’ Haji Ismail Haji Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan).

 

#PUJB
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor