KLINIK KESIHATAN MAHMOODIAH LANJUT WAKTU OPERASI BERMULA AHAD INI


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, waktu operasi Klinik Kesihatan Mahmoodiah akan dilanjutkan sehingga jam 9:30 malam setiap hari. | Foto MDJ Saufi Razale

 

JOHOR BAHRU — Klinik Kesihatan (KK) Mahmoodiah, di sini, akan menjadi perintis pelaksanaan pemanjangan waktu operasi sebagai langkah mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Aminah (HSA), bermula Ahad ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, waktu operasi klinik berkenaan akan dilanjutkan sehingga jam 9:30 malam setiap hari.

 

“Bagi membantu melegakan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma khususnya di HSA, kita akan mula laksanakan pemanjangan waktu operasi di KK Mahmoodiah yang terletak bersebelahan HSA bermula 4 Jun ini.

 

“Ia bererti, jika ada kes-kes yang bukan kritikal seperti demam, batuk, selesema dan penyakit ringan yang lain, pesakit boleh dapatkan rawatan di sana,” katanya ketika ditemui media selepas Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Negeri Johor, di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Mohtar Pungut.

 

Dalam perkembangan lain, Tian Soon memaklumkan Kerajaan Negeri akan berusaha memastikan fasiliti kesihatan di negeri ini, sentiasa berada pada tahap optimum bagi menyediakan perkhidmatan yang terbaik.

 

“Memang ketika ini Kerajaan Negeri lebih tertumpu kepada HSA dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di mana kedua-dua hospital menerima pesakit melebihi kemampuan mereka. HSA dan HSI mempunyai lebih 1,200 katil berbanding hospital lain yang mungkin ada antara 400 hingga 500 katil.

 

“Tetapi, ia tidak bermakna kita mengenepikan hospital di daerah-daerah lain. Saya sendiri sebagai EXCO yang bertanggungjawab turun padang dan lihat sendiri apa yang boleh kita bantu mungkin dari segi kipas, kerusi, parkir dan ruang menunggu yang selesa untuk pesakit dan juga waris,” katanya lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor