KERAJAAN NEGERI PRIHATIN ISU GELANDANGAN DI LARKIN


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru semasa menjalankan Operasi Pemantauan dan Penguatkuasaan Pengemis dan Kutu Rayau di Terminal Bas Larkin, malam semalam. | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menjalankan Operasi Pemantauan dan Penguatkuasaan Pengemis dan Kutu Rayau di Terminal Bas Larkin, malam semalam.

 

Operasi tersebut turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru.

 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu melaksanakan operasi tersebut susulan aduan masyarakat berkaitan masalah tersebut yang diajukan ke pejabatnya.

 

“Rata-rata gelandangan yang diselamatkan ini didapati lari dari penempatan disediakan dan kembali tidur di jalanan berikutan mudah mendapatkan pemberian makanan dan baju-baju terpakai oleh orang ramai,” katanya dalam laman sosial Facebook rasminya.

 

Pada hantaran sama, Mohd Hairi turut menasihatkan orang ramai yang memberi sumbangan atau makanan kepada golongan tersebut perlulah memaklumkan perkara itu kepada pihak JKM.

 

“Pemantauan yang dilaksanakan dari jam 12 tengah malam hingga jam 2 pagi itu telah berjaya menyelamatkan seramai 12 orang gelandangan, melibatkan sembilan lelaki dan tiga wanita.

 

“Isu kutu rayau, pengemis dan gelandangan menjadi isu penting yang perlu diambil perhatian kerana ia bukan sahaja mencacatkan imej Bandaraya Johor Bahru itu sendiri, malah ia turut melibatkan isu keselamatan serta bagi mengelak berlakunya permasalahan sosial yang lain,” tambahnya.

 

Beliau berkata, semua gelandangan terbabit akan ditempatkan di Anjung Singgah bagi tujuan ‘profiling’ sebelum tindakan susulan daripada agensi berkaitan.

 

EXCO Kerajaan Negeri itu turut menzahirkan ucapan terima kasih dan syabas atas khidmat pihak Pejabat Daerah Johor Bahru, JKM Daerah Johor Bahru serta pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang bertindak pantas dalam menjalankan operasi tersebut.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor