KUMPUL 1.2 TAN FABRIK TERPAKAI


pelajar dari Kursus Kokurikulum Berkredit Debat Seksyen2 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh berjaya mengumpul lebih 1.2 tan fabrik terpakai bagi tujuan kitar semula / Gambar Ihsan UTHM.

 

MUAR — Sekumpulan pelajar dari Kursus Kokurikulum Berkredit Debat Seksyen2 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh berjaya mengumpul lebih 1.2 tan fabrik terpakai bagi tujuan kitar semula.

Pengumpulan barangan terpakai itu dilaksanakan selama empat hari menerusi Program Sustainable Engagement Project (SEP) Bajurity : Recyle For Charity itu berjaya mengatasi sasaran 1,000 kilogram pakaian terpakai sebelum ini.

Pengarah Programnya, Muhammad Nabil Yusjah, berkata program berkenaan dilaksanakan bagi mendidik warga kampus dan masyarakat setempat untuk membudayakan aktiviti kitar semula barangan terpakai khususnya fabrik.

“Idea ini dilakukan selepas kita melihat peningkatan sisa fabrik terpakai yang berada di tapak pelupusan sampah termasuk di kawasan kolej kediaman UTHM.

“Sebahagian sisa pembuangan ini sebenarnya boleh diguna atau dikitar semula bagi membantu golongan memerlukan dan pada masa sama dapat menyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” katanya dalam laman Facebook rasmi UTHM.

Program berkenaan turut kerjasama beberapa pihak seperti Kloth Malaysia Sdn Bhd, Genesys Eco Resources, Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), Kelab Teknologi Kejuruteraan (ETeC) dan Sekretariat Rukun Negara (SRN) UTHM.

Muhammad Nabil berkata, berikutan itu pihak UTHM juga mengambil inisiatif menyediakan kemudahan tong kitar semula yang dikhususkan bagi pengumpulan fabrik terpakai di beberapa lokasi strategik di sekitar UTHM Kampus Pagoh.

Sementara itu, Penasihat Program, Mohd Syahir Anwar Hamzah berkata, program yang julung kali diadakan itu mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada warga kampus tetapi juga daripada rakan usahasama projek berkenaan.

“Menerusi pelaksanaan program seumpama ini, pelajar berpeluang mendokong inspirasi kelestarian alam dengan meakukan usaha yang dilihat kecil tetapi memberi impak yang tinggi, selain memenuhi keperluan subjek kokurikulum berkenaan.

“Ia sekali gus diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan keprihatinan warga kampus dan komuniti sekitar untuk mengamalkan kitar semula dan mewujudkan ekosistem yang lestari kelak,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor