3,677 PENGUSAHA PERTANIAN TERIMA MANFAAT


Seramai 3,677 pengusaha sektor pertanian agromakanan pelbagai subsektor menerusi 25 projek yang dilaksanakan menerusi Program Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor di bawah peruntukkan PENJANA (2021-2022) / Gambar Ihsan Zahari Sarip.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 3,677 pengusaha sektor pertanian agromakanan pelbagai subsektor menerusi 25 projek yang dilaksanakan menerusi Program Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor di bawah peruntukkan PENJANA (2021-2022).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip, berkata agenda jaminan bekalan makanan sentiasa menjadi keutamaan dalam hala tuju pembangunan di Johor.

Katanya, bagi memperkasakan lagi Johor sebagai ‘food basket’ makanan kepada Malaysia dan ‘food bank’ kepada negara serantau, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk merancakkan sektor pertanian agromakanan.

“Antara inisiatif yang menjadi fokus utama ialah pelaksanaan projek di bawah Program Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor menerusi peruntukan daripada Kementerian Kewangan Malaysia iaitu Program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sebanyak RM34.56 juta bagi tempoh 2021-2022.

“Menerusi program ini, sebanyak enam jabatan atau agensi kerajaan menerima peruntukan berkenaan merangkumi Jabatan Pertanian Johor sebanyak RM16.6 juta, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor (RM5.5 juta) dan Jabatan Perikanan Johor (RM2 juta).

“Turut menerima peruntukan ialah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Negeri Johor sebanyak RM9 juta, Lembaga Pertubuhan Peladang Johor (RM500,000) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Negeri Johor (RM900,000),” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Zahari berkata, pelaksanaan program terbabit juga sudah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sekuriti Makanan Negeri Johor yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 29 Disember lalu.

“Secara keseluruhannya, ia merangkumi pelaksanaan 25 program atau projek yang telah memberi manfaat kepada 3,677 pengusaha sektor pertanian agromakanan di pelbagai sektor di seluruh negeri ini.

“Antara program yang dilaksanakan ialah program peningkatan hasil pertanian, program pemilikan teknologi mekanisasi, program kolaborasi syarikat peneraju dan pengusaha, program pertanian komuniti dan program pembangunan hab pedaging ruminan.

“Turut diperkasa ialah program pembangunan lembu tenusu, program pembangunan unggas, program pembangunan projek akuakultur bersepadu, projek perluasan tanaman nanas MD2, projek pembangunan pusat pengumpulan hasil pertanian dan projek ternakan kupang,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Johor menerusi Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negeri Johor sentiasa memantau tahap kemajuan pelaksanaan projek terbabit supaya dapat mencapai impak yang optimum.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor