‘LAMBAIAN’ B5 JOHOR STREET MARKET ‘PIKAT’ PENGUNJUNG


B5 Johor Street Market sebagai Pusat Komersial Pelancongan Setempat pertama di Johor, mengubah landskap dan wajah Pekan Tampoi sekali gus menjadi antara destinasi tumpuan utama menjana ekonomi peniaga tempatan.

 

JOHOR BAHRU — Sebagai Pusat Komersial Pelancongan Setempat pertama di Johor, ‘B5 Johor Street Market’ mengubah landskap dan wajah Pekan Tampoi sekali gus menjadi antara destinasi tumpuan utama menjana ekonomi peniaga tempatan.

 

Terletak di Johor Bahru, lokasi tersebut sebelum ini merupakan pusat perniagaan ekonomi yang pesat bagi penduduk setempat dikenali sebagai Batu Lima.

 

Istilah ‘B5’ yang diambil sempena singkatan nama daripada ‘Batu Lima’ kini semakin rancak berkembang sebagai tumpuan umum sejak pelancaran dan awal pengoperasiannya pada Februari, tiga tahun lalu.

 

Pembangunan melibatkan kos hampir RM90 juta ini dibangunkan oleh Johor Corporation (JCorp) menerusi syarikat kumpulannya iaitu Johor Land Berhad (JLand) dan diuruskan oleh Damansara Assets Sdn Bhd.

 

Mahalnya nilai seni ‘B5 Johor Street Market’ ini dapat dilihat pada konsep yang menerapkan lima elemen utama iaitu reka bentuk bercirikan ‘retail’, ‘box park’, ‘food truck’, ‘dining’ serta ‘culture and arts performance’.

 

Berkeluasan 101.181 kaki persegi, premis ini menyediakan 231 ruang perniagaan untuk peniaga memasarkan pelbagai produk termasuk kraftangan, makanan dan minuman serta pakaian.

 

Kepesatan pusat komersial tersebut begitu sarat dengan kehadiran pengunjung dari dalam mahupun luar negeri dan negara ini, terutama ketika Bulan Ramadan hingga menjelang Hari Raya Aidilfitri.

 

Peniaga, Nur Liyana Mohd Fauzi, 35, berkata, konsep diketengahkan meletakkan ‘B5 Johor Street Market’ sebagai satu pusat tarikan tersendiri untuk pelancong setempat dan dari luar terutama sewaktu bulan Ramadan dan musim perayaan.

 

“Selain tempat beli-belah, ia (B5 Johor Street Market) ada satu daya tarikan dari segi konsep yang aktif mengadakan program-program dan aktiviti-aktiviti yang mampu menarik pengunjung.

 

“Hari-hari memang akan ada sahaja orang (pengunjung) tapi bila sampai musim raya memang akan ramai. Kita akan tengok ramai (pengunjung) yang bukan sahaja dari Johor, ada juga pengunjung luar yang datang dari Melaka, Kuala Lumpur dan lain-lain (daerah) serta kita akan dapat jumpa pengunjung dari Singapura juga,” katanya.

 

Nur Liyana menaruh keyakinan terhadap pusat komersial tersebut mempunyai potensi tinggi untuk terus berkembang dan mampu menyumbang kepada ekonomi negeri yang lebih mampan.

 

Bagi Ahtirah Abd Rasid, 20, berkata, peluang berniaga di ‘B5 Street Market’ dianggap membuka jalan kepadanya meningkatkan pendapatan hasil jualan seterusnya memperkenalkan jenama perniagaan diusahakan secara meluas.

 

Beliau memaklumkan sewa tapak niaga di sana adalah berpatutan sejajar keuntungan bulanan diraih berikutan kehadiran pengunjung lokasi itu.

 

“Lokasi kita strategik, dan berhadapan dengan Plaza Angsana yang ramai orang (pengunjung), jadi mereka (pengunjung) boleh singgah datang ke sini.

 

“Keselesaan dan kemudahan fasiliti yang disediakan juga menjadi asbab kepada saya dalam meneruskan legasi perniagaan pakaian milik keluarga,” katanya.

 

Sementara itu, pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Azizah, 39, memuji keselesaan berbelanja di ‘B5 Johor Street Market’ kerana kesemua keperluan mingguan termasuklah persiapan Aidilfitri tersedia di lokasi itu.

 

“Tempat letak kenderaan yang percuma dekat sini sememangnya memberi manfaat kepada pengunjung, mudahlah untuk kami berbelanja di dalam tanpa fikir perlu bayar caj parking kalau kelamaan.

 

“Saya berharap tempat letak kenderaan secara percuma ini dapat diteruskan demi mengekalkan ‘B5 Johor Street Market’ sebagai tumpuan utama di hati Bangsa Johor untuk dikunjungi,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor