LESEN PERNIAGAAN LULUS SATU HARI BEKERJA


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata proses kelulusan lesen perniagaan di 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kini mengambil tempoh 24 jam sahaja.

 

ISKANDAR PUTERI — Proses kelulusan lesen perniagaan di 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini, tidak lagi mengambil masa yang lama.

 

Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, lesen itu boleh diluluskan dalam tempoh 24 jam.

 

“Kelulusan lesen peniaga kecil.. peniaga pasar malam, kita sudah bengkelkan untuk 16 PBT ini. Dulu ada yang mohon tiga bulan belum lulus, ada (juga) enam bulan. Sekarang sudah tiada.

 

“Sekarang lesen-lesen yang asas peniaga kecil semua, satu hari bekerja boleh lulus. Ini diselaraskan bermula daripada tahun ini untuk 16 PBT,” katanya dalam temubual bersama stesen radio Johorfm dalam segmen YB Apa Cerita dikendalikan oleh DJ Balqis dan DJ Jeeha, baru-baru ini.

 

Selain itu, Mohd Jafni berkata, PBT di negeri ini, juga tidak mengeluarkan lesen perniagaan kepada penjaja atau peniaga warga asing seperti ditemui menjual ‘lauk basah’ di pasar malam.

 

Justeru, beliau melihat akan keperluan untuk memperketatkan penguatkuasaan terhadap golongan terbabit bagi setiap PBT demi membela peniaga tempatan.

 

“Ada kes yang dia (peniaga warga asing) buang harga, jual lebih murah dan untung sikit. Tetapi bagaimana dengan orang tempatan? Kita akan tengok, dan pastinya PBT tidak dibenarkan mengeluarkan lesen kepada warga asing.

 

“Ada juga kedai yang disewakan kepada warga asing, cuma ambil sewa bulanan. Bila ada penguatkuasa datang, pemilik baru datang. Masalah bukan semua, tapi mungkin segelintir,” katanya.

 

Mohd Jafni turut memberi jaminan kepada penjaja kecil dan peniaga pasar malam tempatan bahawa kerajaan akan sentiasa pastikan nasib mereka terbela.

 

Terdahulu beliau ditanya mengenai dakwaan PBT berlaku tidak adil kerana memberikan lesen perniagaan kepada warga asing dan tindakan yang diambil untuk membendung isu tersebut.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor