LAMBAIAN TERAKHIR SEORANG SAHABAT


Rakan-rakan karib Allahyarham Komander Muhamad Amir Mohamad seolah tidak menyangka pertemuan Syawal lepas merupakan pertemuan terakhir. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Tidak ada seorang pun menyangka kesungguhan Allahyarham Komander Muhamad Amir Mohamad untuk menemui setiap rakan ‘sepermainan’ ketika berhari raya di Kampung FELCRA Bukit Kepong sebagai lambaian perpisahan buat selamanya.

 

Malah, Pegawai Memerintah Skuadron 502 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga turut menghubungi rakan kenalan yang tidak sempat ditemuinya untuk bertanyakan khabar dan mengucapkan selamat hari raya.

 

Perkara ini dikongsi Mohd Aswan Abdul Kodir, 44, yang juga antara individu terakhir yang berpeluang bertemu dengan arwah pada malam 2 Syawal lalu di kampung halamannya dan berasa cukup terkesan apabila arwah terlibat dengan nahas yang pernah menyuarakan kerisauannya untuk menerbangkan helikopter bagi melakukan formasi di udara.

 

Selain itu, Mohd Aswan memaklumkan arwah juga pada hari lebaran lalu turut menghubungi dan memandu sendiri ke setiap rumah rakan-rakan bagi memastikan tidak ada yang terlepas dalam pertemuan terakhir yang disifatkan Aswan sebagai lambaian perpisahan daripada seorang sahabat.

 

Mohd Aswan yang pernah menjadi rakan sekelas dengan Allahyarham di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labis, menceritakan dia dan rakan-rakan menjadi antara individu yang mendorong arwah untuk menyertai latihan ketenteraan kerana sangat memahami arwah tidak mahu membebankan ahli keluarga untuk menampung kos pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT).

 

Selain itu, menurut Mohd Aswan memberitahu, terdapat juga beberapa penduduk kampung yang perasan kelibat Allahyarham Muhamad Amir berhenti dan melihat kawasan persekitaran di Tanah Perkuburan Islam Kampung FELCRA Bukit Kepong, Muar, dua minggu lalu seolah-olah tahu arwah akan disemadikan di situ tidak lama lagi.

 

Sementara itu, Maza Mahdir Hashim, 44, rakan karib arwah berkata beliau segera bergegas pulang ke Kampung FELCRA Bukit Kepong dari Kuala Lumpur sebaik mendapat perkhabaran buruk itu dan tidak menyangka arwah merupakan seorang pegawai berpangkat tinggi selepas berkhidmat bersama TLDM selama lebih dari 25 tahun sehinggalah mengetahuinya daripada laporan media berkenaan insiden yang berlaku.

 

Sebagai rakan karib, Maza Mahdir juga menyifatkan itulah karakter sebenar Allahyarham Muhamad Amir yang tidak pernah sesekali meninggi diri, selain suka berkongsi rezeki ketika ‘mengeteh’ bersama rakan-rakan lain di kampung halaman di Bukit Kepong.

 

#TragediNahasHelikopter
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor