LANGKAH KANAN UNTUK JUARA BERTAHAN


Stadium Sultan Ibrahim. | Foto MDJ Wira Anggara


Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan memulakan episod baharu di pentas saingan Piala FA dengan melayan kunjungan Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam ini.

 

Apa yang berbeza untuk Liga Malaysia (Liga-M) tahun ini, kejohanan Piala FA 2024 edisi ke-34 akan bermula dengan penampilan format baharu berbanding edisi sama, sebelumnya.

 

Kali ini hanya 16 pasukan yang akan tampil merebut piala berprestij itu berbanding 20 pasukan pada musim lalu, menyaksikan 13 pasukan daripada Liga Super Malaysia dan tiga pasukan daripada Liga Semi-Pro A1 Malaysia yang akan bertanding secara kompetitif sekali gus dijangka menjadi ‘fenomena’ untuk semua pasukan bagi merebut slot automatik ke peringkat Asia.

 

Ujian JDT dilihat agak sukar dalam kejohanan Piala FA 2024, bermula dengan pertemuan pasukan KDN di peringkat kalah mati ‘Round of 16’ hari ini di SSI, Iskandar Puteri. Jika menang, pasukan Malaysian University FT pula akan menunggu di peringkat suku akhir.

 

Imbas kembali kejayaan JDT dalam kejohanan Piala FA, skuad Harimau Selatan menjulang piala juara edisi ke-33 Piala FA 2023 setelah menang ke atas pasukan KL City dengan jaringan 2-0, disaksikan oleh 33,598 orang penyokong yang memenuhi setiap ruang sudut SSI pada Julai tahun lalu.

 

JDT juga turut menjulang kejuaraan kejohanan ini pada edisi ke-27 (2016) dan edisi ke-32 (2022). Walaupun di atas kertas, JDT dilihat mampu mengulangi kejayaan, namun penyokong juga perlu memainkan peranan dalam memberikan sorakan moral tidak berbelah bahagi kepada pasukan.

 

Ayuh semua penyokong, penuhkan stadium malam ini!