KDN FC BUKAN LAWAN YANG MUDAH


Hector Bidoglio, pengendali Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Foto MDJ Wira Anggara

 

Permainan yang sangat kompak dan semangat juang yang tinggi ditunjukkan pemain Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) membuktikan mereka bukan satu lawan mudah. Itu pujian yang dilemparkan Pengendali Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio sejurus tamat permainan.

 

Telahan pengendali berasal dari Argentina ini agak tepat apabila strategi permainan yang ditunjukkan oleh KDN FC kerap kali menyukarkan anak buahnya untuk mencipta ruang dan peluang untuk mencari gol pada separuh masa pertama.

 

Bagaimanapun, JDT berjaya menyumbat gol pertama pada minit-minit terakhir sebelum tamat babak pertama perlawanan hasil jaringan Fernando Forestieri.

 

Kesukaran yang dihadapi pada babak pertama telah membuatkan Hector mula mengubah percaturan taktikal pada separuh masa kedua dengan memasukkan gandingan Francisco Geraldes, Arif Aiman dan Romel Morales untuk meningkatkan dinamik dalam permainan serta pergerakan bola dengan lebih lancar.

 

Percaturan itu tampak membuahkan hasil apabila gaya permainan yang ditunjukan oleh skuad Harimau Selatan dilihat lebih bernafsu melakukan serang demi serangan dan akhirnya gandingan berbisa itu berjaya meletakkan nama masing-masing dalam senarai penjaring.

 

Bercakap mengenai JDT, Hector menjelaskan bahawa persiapan rapi skuad Harimau Selatan itu telah bermula sejak Februari lagi. Namun disebabkan skuad didikannya hanya baharu beraksi dalam tiga perlawanan musim ini berikutan jadual rehat liga menyebabkan kondisi skuad juara quadruple musim lalu sedikit ‘lambat panas’.

 

Beliau tanpa berselindung lebih sukakan jika tempoh rehat dapat dikurangkan supaya tahap intensiti pasukan kendaliannya dapat dikekalkan, namun tetap akur terutama dalam memberi ruang kepada persiapan skuad negara dalam aksi kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.

 

Mengenai kondisi Arif Aiman, Hector memuji permainan Pemain Paling Bernilai (MVP) tersebut walaupun Arif dilihat belum mendapat kecergasan sepenuhnya. Bagaimanapun, Hector tetap percaya dengan semua pemain yang diturunkan dan cabaran yang paling utama adalah untuk membentuk kesebelasan utama kerana JDT mempunyai ramai pemain yang berkualiti.

 

Dalam aksi malam tadi, JDT berjaya menumpaskan pasukan KDN FC dengan jaringan 4-0, sekali gus mara ke peringkat suku akhir kejohanan Piala FA 2024/2025 dan bakal bertemu pasukan baharu dari Liga Semi-Pro A1, Malaysian University FT.

 

#PialaFA2024
#SudutPandangPenyokong
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor