LAWATAN RASMI PENGERUSI KEJORA KE IBU PEJABAT DAN WILAYAH KEJORA


Sesi lawatan itu menjadi platform sesi suai kenal antara Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani bersama warga KEJORA. | Foto ihsan FB KEJORA

 

ISKANDAR PUTERI — Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat KEJORA dan Wilayah KEJORA.

 

Memetik hantaran dimuat naik dalam Facebook rasmi lembaga berkenaan, sesi lawatan itu menjadi platform sesi suai kenal antara beliau bersama warga KEJORA.

 

“YB Tan Sri Dato’ Dr. Azmi juga telah diberikan taklimat pengurusan dan pembangunan yang disampaikan oleh Pengurus Perancangan Strategik KEJORA. Taklimat itu merangkumi keseluruhan pencapaian, fungsi, visi, misi serta hala tuju KEJORA,” jelas KEJORA.

 

Sementara itu, YB Tan Sri Dato’ Dr. Azmi dalam ucapan balasnya, berpandangan pengurusan kanan KEJORA perlu sentiasa peka dan bekerja dengan lebih kuat serta memastikan keberjayaan sesuatu program dapat dicapai.

 

Setiausaha Kerajaan Johor juga memberikan amanat kepada semua anggota KEJORA sebelum melancarkan Sistem Aktiviti KEJORA (SARA).

 

Seterusnya, YB Tan Sri Dato’ Dr. Azmi kemudiannya mengetuai program konvoi bermotor ke Kampung Dato’ Abdul Ghani Othman, Pengerang yang dinobatkan sebagai johan pertandingan Kampung Unggul Wilayah KEJORA.

 

Beliau berkesempatan meluangkan masa menyertai program Akrab Komuniti yang turut menjalankan pelbagai aktiviti seperti sukan komuniti, dan pertandingan pondok tercantik.

 

Hadir sama, Timbalan Pengerusi KEJORA, Dato’ Abd. Halim Suleiman; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Johor (PTG), Dato’ Haji Ashari Kasnan; Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hajah Hazlina Jalil dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor