MAINJ AKAN TERUS BANTU, PERKASA ASNAF


Mufti Negeri Johor, Dato’ Yahya Ahmad berucap di Majlis Penutup Bulan Keusahawan Asnaf 2023. | Foto MDJ, Liyana Iwana

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sentiasa komited dan berusaha secara serius bagi memastikan setiap agihan zakat yang disalurkan dapat dimanfaatkan secara bersistem, bertatakelola dan berdaya maju.

 

Ia termasuklah inisiatif MAINJ mengadakan Bulan Keusahawanan MAINJ 2023 yang memberi penekanan kepada Skim Bantuan Berdikari yang mencakupi bantuan modal perniagaan bernilai RM5,000 dan bantuan peralatan perniagaan sehingga RM10,000.

 

Mufti Negeri Johor, Dato’ Yahya Ahmad, berkata skim bantuan terbabit diperkenalkan itu adalah bersifat mendidik asnaf yang diberikan secara ‘one off’ dan seterusnya ia diharapkan menjadi ikhtiar dalam memperbaharui kehidupan asnaf kelak.

 

Katanya, MAINJ juga akan memastikan mereka ini akan mampu mencapai objektif seperti yang diprogramkan sehingga kepada satu peringkat di kelompok asnaf terbabit berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan.

 

“Pada Ogos 2022, MAINJ telah melancarkan Pelan Pembangunan Asnaf 2022-2023 dengan sejumlah RM5.4 juta diperuntukan bagi menjayakan pelan ini.

 

“Jika berjaya dilaksanakan mengikut jadual, ia berupaya memberi manfaat kepada hampir 2,500 penerima,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Rasmi Bulan Keusahawanan Asnaf 2023 di sini, semalam.

 

Yang turut hadri ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Ismail Abu; Ahli MAINJ, Dato’ Md Tahrir Dato’ Shamsudin; Ahli MAINJ, Md Buranuddin Tibek dan Ahli MAINJ, Anoar Sarimin.

 

Pada majlis sama, beliau turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara MAINJ dengan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS); Waqaf An-Nur Corporation Berhad dan Perbadanan Usahawan Johor Berhad (PUJB).

 

Yahya berkata, tidak dinafikan berdasarkan pengalaman lampau, terdapat ramai penerima bantuan berdikari MAINJ berjaya mencapai impian tetapi tidak kurang juga yang gagal menyerlah dan berhenti di pertengahan jalan.

 

“Namun, di bawah inisiatif Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Ismail Abu, beliau menyusun semula bentuk pendekatan yang lebih baik supaya mereka sentiasa berdaya maju, bermotivasi dan memiliki nilai tambah dalam kerjaya.

 

“Gagasan ini turut membuka ruang kerjasama bersama agensi lain terutama mereka yang mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam membentuk serta membimbing penerima bantuan untuk berdikari,” katanya.

 

Bagi memastikan usaha ini akan terus diperkasa, beliau berkata, MAINJ juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi dan juga rakan strategik seperti Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS), PUJB, Wakaf An-Nur, Politeknik Ibrahim Sultan, Pengusaha Stesen Minyak Petronas Wilayah Selatan dan sebagainya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor