MANGSA BANJIR JUNJUNG KASIH ATAS KURNIAAN RAJA PERMAISURI AGONG

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Sinaran Baru dan Kampung Maju Jaya, Johor Bahru. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Sinaran Baru dan Kampung Maju Jaya menjunjung setinggi-tinggi kasih atas kurniaan sumbangan diterima daripada KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Sumbangan yang diterima adalah kurniaan peribadi berupa tunai daripada Baginda Tuanku selain kit kebersihan diri dan Kotak Sumbangan Bencana oleh YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) serta pelbagai pihak lain.
Bagi Rosni Pelawa, 65, yang ditempatkan di PPS Kampung Sinaran Baru gembira atas keprihatinan Raja Permaisuri Agong bercemar duli menyantuni mangsa banjir termasuk dirinya dan menyampaikan kurniaan serta sumbangan yang dapat digunakan untuk membeli keperluan Aidilfitri.
Berkongsi situasi getir apabila berhadapan bencana banjir, beliau memberitahu kediamannya merupakan antara terawal dinaiki air di kampung itu susulan hujan lebat berterusan sebelum dipindahkan ke PPS ditetapkan dengan hanya sempat membawa beberapa helai pakaian sahaja.
Sementara itu, Mimi Nuratiqa Mohd Noh, 32, merakamkan ucapan terima kasih atas kurniaan daripada Raja Permaisuri Agong dan sumbangan Setiausaha Kerajaan Johor yang telah memberikan keutamaan dan perhatian terhadap keperluan serta kebajikan rakyat terutama mangsa banjir.
Bencana banjir dihadapi merupakan pengalaman pertama buat dirinya, namun memuji persediaan dilakukan Kerajaan Negeri kerana bantuan bekalan termasuk makanan adalah mencukupi di PPS selain ditambah sumbangan diterima yang meringankan beban ditanggung.
#PrayforJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor