MANGSA BANJIR KIAN MENURUN



Jumlah mangsa banjir di Johor mula menunjukkan trend penurunan berikutan keadaan cuaca yang semakin baik hari ini / Gambar Ihsan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Jumlah mangsa banjir di negeri ini semakin menunjukkan trend penurunan apabila seramai 3,676 mangsa banjir masih berlindung di 40 pusat pemindahan sementara di tujuh daerah di Johor.
Angka itu berkurangan sebanyak 856 mangsa berbanding data yang direkodkan pada 12 tengah hari tadi dengan  1,020 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Bagaimanapun cerapan Jabatan Meterologi Malaysia (MET Malaysia) masih meletapkan tahap amaran cuaca waspada iaitu hujan berterusan di daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi dan Johor.
Selain itu, lima batang sungai di negeri Johor masih berada di paras bahaya iaitu Sungai Muar di Muara Sungai Gemas; Sungai Batu Pahat (Ladang Chaah); Sungai Muar (Bukit Kepong); Sungai Endau (Kampung Contoh,Kluang) dan Sungai Endau (Mersing).
Lima batang sungai pula berada di paras amaran iaitu Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat; Sungai Muar (Buloh Kasap); Sungai Batu Pahat (Bekok); Sungai Batu Pahat (Empangan Semberong) dan Sungai Johor di Kota Tinggi.
Air pasang juga akan melanda petang ini dan laporan daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) di empat stesen meramalkan air pasang setinggi 321 sentimeter (cm) di Kukup, 302 cm (Johor Bahru), 206 cm (Tanjung Sedili) dan 214 cm di Pulau Tioman.
Maklumat terkini daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor memaklumkan enam laluan utama masih terputus hubungan akibat masih ditenggelami banjir dan tanah runtuh.
Antara laluan ditutup akibat banjir ialah Jalan Tanah Abang di Mersing; Jalan Mawai Lama dan Jalan Lok Heng/Sungai Mas (Kota Tinggi); Jalan Felda Medoi dan Jalan Jabi-Bukit Tempurung di daerah Segamat.
Laluan Sungai Tiram ke Ulu Tebrau pula masih ditutup kepada lalu lintas kerana kejadian tanah runtuh yang berlaku di lokasi berkenaan.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor