MASALAH KESIHATAN MENTAL BUKAN GILA


Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr. Nor Hana Ahmad Bahuri. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Wujud tanggapan dalam kalangan masyarakat pada masa kini, yang menganggap bahawa masalah kesihatan mental sebagai ‘sakit jiwa’ atau ‘gila sehingga timbul rasa tertekan dan tidak mahu mendapatkan bantuan daripada pakar berbentuk nasihat mahupun rawatan.

 

Kebenaran ini telah dikongsikan oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr. Nor Hana Ahmad Bahuri sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023 yang turut menggariskan empat objektif utama sambutan pada tahun ini.

 

Bertemakan ‘Kesihatan Mental Milik Semua, Hentikan Stigma’, beliau memberitahu sambutan kali ini bertujuan meningkatkan literasi kesihatan mental dalam kalangan masyarakat supaya kumpulan yang memerlukan ini tidak mengklasifikasikan stres, kebimbangan (anxiety) dan kemurungan adalah gila.

 

“Kedua, kita mahu noktahkan stigma agar masyarakat prihatin dan cakna akan kesihatan mental bukan sahaja terhadap diri sendiri malah ahli keluarga dan rakan-rakan sekeliling supaya dapat bersama-sama membantu mereka yang memerlukan intervensi lanjut ataupun rawatan kesihatan mental.

 

“Ketiga, memperkasakan sokongan dari aspek psikososial dalam masyarakat, ahli keluarga, majikan serta rakan kerja dan yang terakhir, sentiasa mempromosikan isu kesihatan mental. Isu kesihatan mental bukanlah perkara baharu, sebaliknya ia telah lama wujud. Cuma disebabkan oleh stigma masyarakat memilih untuk berdiam diri dan merana sendiri, semakin lama ia boleh menjadi sesuatu yang sangat kronik dan berakhir dengan penyakit mental,” ujar beliau dalam temubual bersama Media Digital Johor.

 

PERBEZAAN KESIHATAN MENTAL DAN PENYAKIT MENTAL

 

Menurut Dr. Nor Hana, masalah kesihatan mental dan penyakit mental merupakan dua perkara berbeza yang perlu untuk diketahui serta difahami oleh masyarakat agar tidak timbul stigma yang menghadirkan kebimbangan bagi mendapatkan sokongan yang sewajarnya.

 

Beliau memberitahu kesihatan mental adalah satu situasi di mana seseorang individu berupaya untuk mengenali potensi diri dan menangani tekanan dalam kehidupan seharian yang hadir dalam pelbagai faktor seperti keluarga, pekerjaan dan diri sendiri, namun mampu atasinya sekali gus terus produktif dengan menyumbang sesuatu kepada sekeliling.

 

Ujarnya, seseorang individu boleh diketahui mempunyai masalah kesihatan mental apabila berlakunya gangguan dalam emosi atau perasaan yang menyebabkan dirinya tidak dapat melakukan aktiviti harian seperti biasa, contohnya tidak boleh tidur atau terlebih tidur daripada tempoh biasa.

 

“Manakala penyakit mental pula adalah satu keadaan di mana terdapat gangguan berlaku dalam ‘fungsi otak’ yang akan mengubah cara berfikir, melihat dan bertindak terhadap sesuatu yang mana biasanya di luar tabii. Contoh, mendengar suara seolah-olah menyuruh dirinya terjun dari bangunan atau mencederakan orang lain tanpa disedari,” jelas beliau.

 

TANDA-TANDA STRES, KEBIMBANGAN DAN KEMURUNGAN

 

Stres, kebimbangan dan kemurungan merupakan tiga perkara yang termasuk dalam masalah kesihatan mental. Bagi stres, ia merupakan tindak balas individu terhadap perubahan ataupun cabaran yang datang secara mengejut dalam kehidupan seharian.

 

Sementara itu, kebimbangan atau ‘anxiety’ pula adalah apabila individu mengalami kebimbangan secara berlebihan, manakala kemurungan merupakan satu situasi di mana seseorang itu berada dalam keadaan ‘low mood’ atau kesedihan yang melampau.

 

Dr. Nor Hana menjelaskan stres, kebimbangan dan kemurungan mempunyai tanda-tanda tersendiri yang sewajarnya diketahui dan diambil peduli oleh masyarakat, tetapi secara umumnya akan ada beberapa simptom yang bertindan antara satu sama lain.

 

Jelas beliau, antara tanda-tanda yang sering dapat dilihat secara subjektif adaah gangguan tidur, perubahan dalam selera makan, rasa berdebar tanpa sebab, kesukaran bernafas, mudah tersinggung dan menangis, cepat berasa bimbang, mula hilang minat dalam sesuatu yang digemari serta sukar memberikan tumpuan.

 

“Perkara yang paling dirisaukan apabila masalah kesihatan mental ini turut dialami oleh remaja sehingga menyebabkan percubaan untuk ‘membunuh diri’. Melalui Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada tahun 2022, satu daripada empat remaja mengalami kemurungan, manakala satu daripada sepuluh remaja pernah mencuba untuk membunuh diri,” katanya.

 

LAKUKAN SARINGAN KENDIRI, DAPATKAN RAWATAN SEGERA

 

Kepada masyarakat yang mempunyai tanda-tanda stres, kebimbangan dan kemurungan dinasihatkan untuk berkunjung ke mana-mana fasiliti kesihatan kerajaan mahupun swasta yang berhampiran untuk membuat saringan demi kesejahteraan diri, seru Dr. Nor Hana.

 

Di samping itu, beliau memaklumkan saringan kendiri juga boleh dilakukan secara atas talian, namun setelah itu mereka yang memerlukan sokongan dan bantuan tetap perlu mendapatkan diagnosis sebenar daripada pegawai yang profesional di klinik kesihatan.

 

“JKNJ memang ada menyediakan satu talian untuk masyarakat umum melaksanakan saringan kesihatan mental secara sendiri. Setiap daripada klien akan dapat keputusan sama ada normal, ringan ataupun teruk dan disertakan dengan saranan-saranan lanjut.

 

“Bagi mereka yang teruk ataupun sangat teruk biasanya akan disarankan untuk datang ke mana-mana fasiliti kesihatan swasta atau kerajaan bagi mendapatkan diagnosis lanjut oleh pegawai yang profesional kerana ujian atas talian ini hanya untuk mengesan kemungkinan dan bukanlah satu diagnosis,” kata beliau lagi.

 

Justeru, pakar Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit JKNJ ini berpesan supaya setiap masyarakat cakna dengan kesihatan fizikal dan mental sekali gus mengubah stigma agar berani untuk keluar mendapatkan rawatan selari dengan tema sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan pada tahun ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor