MASALAH PRASARANA LOT GENERASI KEDUA FELDA AYER HITAM BAKAL BERAKHIR

Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif membaik pulih jalan raya, sistem perparitan dan penyediaan lot perumahan di kawasan FELDA Ayer Hitam. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#Kluang – Isu prasarana yang membelenggu generasi kedua FELDA Ayer Hitam sejak lebih sedekad lalu bakal berakhir apabila Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif membaik pulih jalan raya, sistem perparitan dan penyediaan lot perumahan di kawasan tanah rancangan berkenaan.

 

Kerja-kerja pembinaan kemudahan infrastruktur ini dijangka bermula pada September ini, menandakan permulaan kepada penyelesaian menyeluruh yang telah lama dinantikan oleh komuniti FELDA berkenaan khususnya melibatkan jaringan jalan raya yang menjadi nadi kepada kelangsungan hidup harian golongan generasi kedua peneroka terbabit.

 

Bagi Jasman Labib, 57, Pengerusi Generasi Kedua FELDA Ayer Hitam, menyambut baik langkah Kerajaan Negeri menyelesaikan terus isu ini yang bukan sahaja akan memberi manfaat besar kepada golongan peneroka berkenaan tetapi juga sebagai bukti komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pimpinan negeri dalam meneliti dan mendengar sendiri permasalahan rakyat khususnya di peringkat akar umbi.

 

Bagi Khadijah Komeng, 54, yang juga seorang ibu tunggal memberitahu beliau sememangnya bersyukur dan gembira dengan perkara ini kerana sebelum ini terpaksa melalui kawasan berbukit atau menumpang laluan di rumah jiran semata-mata untuk keluar masuk ke jalan utama bagi menjalankan urusan harian.

 

Projek penyediaan infrastruktur asas ini dilaksanakan hasil peruntukan bersama antara Kerajaan Negeri dan pihak FELDA berjumlah RM18 juta. Projek ini akan melibatkan beberapa kawasan FELDA terpilih di Johor, dengan matlamat utama untuk memastikan projek perumahan generasi kedua dapat direalisasikan secara menyeluruh dan sistematik.

 

Langkah ini secara tidak langsung menterjemah iltizam Johor untuk mengangkat FELDA sebagai ‘anak emas’ serta pada masa sama menyelesaikan isu warisan yang telah lama membelenggu masyarakat peneroka, sekali gus merungkai permasalahan legasi yang telah lama membelenggu generasi kedua, selain ia bakal membuka lembaran baharu kepada pembangunan yang lebih tersusun dan inklusif di kawasan tanah rancangan berkenaan.

 

#GenerasiFELDAJohor
#SegalanyaFELDA
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor