MBIP AMBIL TINDAKAN PENGUATKUASAAN TERHADAP NETWORK SCHOOL

Hasil pemeriksaan turut mendapati syarikat berkenaan menggunakan premis yang dilesenkan sebagai pejabat urusan untuk dijadikan sebagai ruang kelas, selain menjalankan promosi perniagaan tanpa mengemukakan permohonan kelulusan yang berkaitan. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menerusi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) kini mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap operasi Network School di Forest City selepas pemeriksaan mendapati berlaku pelanggaran berkaitan lesen perniagaan serta penggunaan premis di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

Hasil pemeriksaan yang dilaksanakan oleh MBIP mendapati syarikat berkenaan beroperasi di dua premis iaitu satu premis yang mempunyai lesen pejabat urusan yang sah, manakala satu lagi premis pula didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh MBIP walaupun premis tersebut dimiliki oleh seorang warga tempatan.

 

Hasil pemeriksaan turut mendapati syarikat berkenaan menggunakan premis yang dilesenkan sebagai pejabat urusan untuk dijadikan sebagai ruang kelas, selain menjalankan promosi perniagaan tanpa mengemukakan permohonan kelulusan yang berkaitan.

 

Sehubungan itu, MBIP telah mengeluarkan Notis Henti Niaga IP012N260714001 terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah serta Notis Lesen Iklan (6103) di bawah Seksyen 107(2), Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana mempamerkan papan iklan yang tidak mematuhi syarat dan tidak selaras dengan kelulusan yang telah diberikan.

 

Kerajaan Negeri menegaskan MBIP akan meneruskan proses siasatan terhadap semua aspek di bawah bidang kuasanya dan tindakan penguatkuasaan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan yang berkuat kuasa.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, dalam satu kenyataan, turut memaklumkan bahawa sebarang perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

 

Selain itu, Kerajaan Negeri turut menggesa Kerajaan Persekutuan supaya memberikan keputusan segera, jelas dan muktamad berhubung status individu yang terlibat serta operasi Network School.

 

#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor