MBJB LANCAR PUSAT KAWALAN BERSEPADU PERTAMA DI JOHOR


Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Dato’ Mohd Noorazam Osman melancarkan Pusat Kawalan Operasi Bersepadu Johor Bahru (JBIOCC). | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) hari ini melancarkan Pusat Kawalan Operasi Bersepadu Johor Bahru (JBIOCC) sebagai langkah berterusan bagi meningkatkan tahap perkhidmatan dan pemantauan di kawasan pentadbirannya.

 

Datuk Bandar MBJB, Dato’ Mohd Noorazam Osman memaklumkan pelancaran JBIOCC mencermin dan memperkukuh peranan MBJB sebagai organisasi yang sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan dengan mengambil langkah proaktif dalam tindakannya.

 

Bagi peringkat Fasa 1, pusat kawalan operasi bersepadu pertama seumpamanya di negeri ini, yang dilengkapi Pusat Operasi Bersepadu Pintar (SIOC) serta 108 kamera litar tertutup (CCTV) dengan 15 ciri kecerdasan buatan (AI) itu telah berjaya disiapkan.

 

Untuk tujuan pemantauan pula akan melibatkan tambahan 500 CCTV, lima sistem pemantauan kenderaan (VMS) dan 10 butang kecemasan yang dijangka siap dipasang di sekitar kawasan bandar raya Johor Bahru serta beroperasi sepenuhnya pada April 2024.

 

JBIOCC berkeupayaan mengenal pasti keadaan semasa lalu lintas, bencana, jenayah, infrastruktur dan penguatkuasaan dengan segera selain mampu mengurangkan impak serta kesan seperti kerosakan harta benda awam dan keselamatan individu.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor