MBJB SEDIA RM30 JUTA ATASI ISU BANJIR

Dalam usaha memperkukuh pemantauan dan tindakan awal, MBJB memasang sistem pemantauan pintar di dua lembangan sungai utama iaitu Sungai Chat dan Parit Utama Abdul Samad yang membolehkan pemantauan ‘hotspot’ banjir, ketinggian aras air sungai serta taburan hujan secara ‘real time’. | Gambar fail MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) terus komited dalam usaha menangani isu banjir di kawasan pentadbirannya dengan melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah projek tebatan banjir melibatkan peruntukan RM30 juta dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Beberapa projek tebatan banjir juga telah mula dilaksanakan termasuk di Sungai Chat, Jalan Titiwangsa, dekat Taman Tampoi Indah serta Jalan Waja 7 di Kawasan Perindustrian Pandan diikuti di Jalan Kenangan, Kampung Melayu Majidee yang dijangka bermula pada April.
Sebagai sebahagian daripada pelan jangka masa panjang, pembinaan tembok banjir (flood wall) juga akan dilaksanakan secara berperingkat dengan melibatkan pembinaan ban dan sistem pam bagi mengawal aliran air di kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir.
Selain itu, sistem perparitan utama dan anak sungai di bawah tanggungjawab MBJB turut telah dilengkapi dengan sistem kawalan air pasang surut yang merangkumi pintu air (tidal valve) dan sistem pam untuk memastikan kelancaran aliran air termasuk ketika hujan.
Dalam usaha memperkukuh pemantauan dan tindakan awal, MBJB memasang sistem pemantauan pintar di dua lembangan sungai utama iaitu Sungai Chat dan Parit Utama Abdul Samad yang membolehkan pemantauan ‘hotspot’ banjir, ketinggian aras air sungai serta taburan hujan secara ‘real time’.
Sebagai langkah proaktif, MBJB turut melaksanakan kerja-kerja penggalian di empat sungai utama yang sedang giat dijalankan iaitu di Sungai Sengkuang, Sungai Bala, Sungai Pandan dan Sungai Tampoi termasuk tujuh lokasi tambahan akan dikenalpasti.
MBJB juga sudah melantik perunding bagi menjalankan kajian di tiga lembangan sungai utama iaitu Sungai Pandan, Sungai Stulang dan Sungai Tampoi yang dijangka siap pada Oktober tahun ini, untuk memastikan pelaksanaan projek tebatan banjir di lokasi terkesan dapat dilakukan secara sistematik.
#TebatanBanjir
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor