MDT ARAH HENTI KARNIVAL LANGGAR SYARAT
#IskandarPuteri – Majlis Daerah Tangkak (MDT) mengambil tindakan tegas dengan menurunkan struktur berbentuk kapal angkasa ulang alik mempunyai pelekat bendera negara China di Karnival Fantasi Lampu LED di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, Tangkak pada 26 Disember lalu.
Tindakan tersebut diambil selepas siasatan dilakukan MDT yang mendapati penganjur tidak mematuhi syarat-syarat penganjuran karnival susulan aduan diterima pada 25 Disember lalu, berkaitan struktur menimbulkan kegelisahan awam itu.
MDT turut mengeluarkan notis arahan pemberhentian operasi serta merta kepada penganjur kerana perlanggaran syarat tersebut selaras Seksyen 14(1) (b) dan 49(2) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (Majlis Daerah Tangkak) 2017.
Pemantauan lanjut dilakukan oleh pihak MDT pada tarikh yang sama tindakan diambil mendapati tiada sebarang aktiviti berjalan dan karnival berkenaan telah ditutup sepenuhnya.
MDT sentiasa menggalakkan aktiviti perniagaan di dalam kawasan pentadbirannya dengan mematuhi syarat berkaitan, namun bersedia mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang gagal berbuat sedemikian khususnya menimbulkan kegelisahan masyarakat.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor