MELAHIRKAN PEGAWAI TADBIR NEGERI JOHOR BERTARAF DUNIA

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bertitah mahu melihat Johor mempunyai pegawai tadbir cemerlang pada perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. | Foto Jabatan Penerangan Negeri Johor
#IskandarPuteri – Langkah Kerajaan Negeri menghantar Pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS) mengikuti kursus pembangunan profesional bertaraf dunia merupakan pelaburan strategik untuk masa hadapan Johor.
Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bertitah mahu melihat Johor mempunyai pegawai tadbir cemerlang dari sudut teknikal dan pentadbiran, pemikiran kritikal, keupayaan membuat keputusan tepat dan daya tahan mendepani cabaran.
Sering menekankan kepentingan Johor ditadbir oleh pegawai tadbir memiliki standard dan kemahiran profesional yang tinggi, Baginda bertitah adalah wajar untuk mempertingkatkan kualiti dan standard pegawai JCS dalam suasana Johor sedang berkembang pesat.
Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail bertitah, pegawai JCS perlu dibekalkan dengan ilmu global dan kemahiran kepimpinan yang sejajar dengan keperluan masa kini kerana mereka merupakan tulang belakang kepada tadbir urus kerajaan.
Menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Kerajaan Negeri melalui tabung pendidikan Permodalan Darul Ta’zim (PDT) sudah mengambil inisiatif menaja pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam negeri sebagai langkah permulaan.
Kesemua pegawai-pegawai kanan terlibat telah diberikan peluang untuk mengikuti kursus pembangunan profesional bertaraf dunia di institusi pendidikan antarabangsa termasuklah universiti dalam kelompok Ivy League di Amerika Syarikat.
Selain itu, Baginda juga menitahkan Kerajaan Negeri untuk mengadakan perbincangan dan bekerjasama dengan Universiti Harvard bagi meneroka pendekatan baharu dalam penyediaan kursus profesional di negeri ini.
Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat menyempurnakan perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#WTN
#DewanNegeriJohor15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor