MEMACU RENGGAM KE ARAH BANDAR SATELIT

Sesi pertukaran dokumen kerjasama strategik antara YBhg. Encik Mohd Fa’iz bin Salehon, Yang Dipertua MDSR dengan YBrs. Encik Chay Hong Choong, Pengurus Besar Daily Fresh International Malaysia Sdn. Bhd. pada Renggam Fiesta x Majestic Johor dan Pelancaran Fun Map Pelancongan ‘Singgah Simpang Renggam’. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#Kluang – Bandar Renggam bakal berubah wajah menjadi sebuah bandar satelit yang memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi setempat dan memacu Kluang untuk muncul sebagai antara daerah paling pesat membangun di Johor.

 

Usaha berkenaan didorong oleh kemasukan pelabur berserta pelbagai projek berimpak tinggi ke negeri ini, terutama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang membuka peluang kepada Kluang termasuk Renggam meraih limpahan manfaatnya.

 

Bagi memperkukuh potensi pelancongan dan ekonomi, Renggam akan menampilkan tarikan baharu termasuk projek pembinaan Dataran Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Simpang Renggam oleh Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR).

 

Inisiatif strategik dengan kerjasama Daily Fresh International Malaysia Sdn. Bhd. itu dijangka membugar potensi besar dimiliki kawasan Renggam dalam sektor agro-pelancongan dan menjadi tarikan pelancong menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

 

Selain itu, kejayaan Majestic Johor x Fiesta Renggam merekodkan lebih 65,000 pengunjung telah membuktikan potensi besar Renggam selain kewujudan fasiliti Tunku Ismail Youth Centre (TMIYC) yang dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian Renggam Fiesta x Majestic Johor dan Pelancaran Fun Map Pelancongan ‘Singgah Simpang Renggam’ di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Renggam, hari ini.

 

Hadir sama, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor; YBhg. Puan Azurawati Wahid, Pegawai Daerah Kluang serta YBhg. Encik Mohammad Nazrul Abd. Rahim, Pengarah Tourism Johor.

 

Pada majlis sama, turut berlangsung sesi pertukaran dokumen kerjasama strategik antara YBhg. Encik Mohd Fa’iz bin Salehon, Yang Dipertua MDSR dengan YBrs. Encik Chay Hong Choong, Pengurus Besar Daily Fresh International Malaysia Sdn. Bhd.

 

#MajesticJohor
#RenggamFiesta
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor