MENELUSURI DEDIKASI, MENYEMAI LEGASI SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR

Program Menelusuri Dedikasi, Menyemai Legasi yang diadakan bagi menghargai sumbangan serta dedikasi YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor sepanjang mengetuai pentadbiran awam Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru — YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor hari ini diraikan dalam satu majlis makan malam bersama warga kerja Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor bersempena program Menelusuri Dedikasi, Menyemai Legasi bagi menghargai sumbangan serta dedikasi beliau sepanjang mengetuai pentadbiran awam Negeri Johor.

 

Majlis warna-warni yang bertemakan Melayu Klasik yang berlangsung di Hotel Holiday Villa dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 1,000 tetamu yang terdiri daripada barisan Pegawai Tadbir Negeri Johor dan Penjawat Awam yang bertugas di pelbagai jabatan di bawah sayap Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, selain turut diserikan dengan persembahan koir Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor dan persembahan budaya oleh artis Yayasan Warisan Johor.

 

Sementara itu dalam ucapan penghargaan kepada warga pentadbiran negeri, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi menyeru semua penjawat awam Johor terus menjadi pemegang amanah yang cekap dan bijaksana, bukan sekadar melaksanakan dasar, tetapi memahami matlamatnya serta menyantuni keperluan rakyat secara holistik dan berhemah.

 

Beliau turut menekankan bahawa cabaran semasa juga turut menuntut Penjawat Awam Johor untuk sentiasa berubah secara proaktif, berdaya adaptasi terhadap teknologi, mampu membuat keputusan berasaskan data serta mengutamakan penyampaian perkhidmatan berkualiti tinggi sebagai teras budaya kerja.

 

Hadir sama pada program Menelusuri Dedikasi, Menyemai Legasi ialah YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd Kadir, Pegawai Kewangan Negeri Johor, barisan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor serta barisan Pegawai Tadbir Kanan Negeri Johor.

 

Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan melantik YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.

 

#SetiausahaKerajaanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor