MENTERI BESAR JOHOR TERIMA PENGIKTIRAFAN FELO PERTUKARAN LEE KUAN YEW

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi telah dipilih sebagai penerima kesembilan dari Malaysia dan ke-82 untuk program Felo Pertukaran Lee Kuan Yew (LKYEF). | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menjadi penerima ke-82 Felo Pertukaran Lee Kuan Yew (LKYEF) sekali gus rakyat Johor pertama dan rakyat Malaysia kesembilan yang menerima pengiktirafan berkenaan sejak ditubuhkan pada tahun 1991.
Susulan daripada pengiktirafan tersebut, Menteri Besar Johor akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Singapura di bawah program LKYEF atas jemputan TYT Dr. Vivian Balakrishnan, Menteri Ehwal Luar Singapura bermula hari ini (Rabu) hingga 1 Ogos ini.
Pemilihan tokoh-tokoh berkaliber tinggi dari seluruh dunia termasuk Menteri Besar Johor sebagai Felo LKYEF itu berdasarkan rekod pencapaian dan potensi atas sumbangan kepada pembangunan negara serta pengukuhan hubungan dua hala dengan negara republik tersebut.
Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Ehwal Luar Singapura semalam, Menteri Besar Johor juga dijadual mengadakan pertemuan dengan TYT Lawrence Wong, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura dan TYT Gan Kim Yong, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura.
Menteri Besar Johor turut akan bertemu TYT Ong Ye Kung Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan Singapura, TYT Chee Hong Tat, Menteri Pembangunan Negara Singapura; TYT Jeffrey Siow, Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura serta YBrs. Lee Tzu Yang, Pengerusi LKYEF.
Selain bakal mengadakan perbincangan strategik, Menteri Besar Johor juga akan menerima taklimat dan melawat beberapa lokasi berkaitan pembangunan bandar dan pengurusan penjaja yang dijangka membuka lebih banyak ruang kerjasama antara Johor dengan Singapura.
#JohorHomeOfChampions
#WTN
#FeloLKYEF
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor