MERAIKAN SOSIOBUDAYA MASYARAKAT ORANG ASLI JOHOR


Karnival Kebudayaan Orang Asli Peringkat Negeri Johor Tahun 2024 akan diadakan pada 17 dan 18 Ogos ini di Kampung Orang Asli Sungai Layau, Kota Tinggi. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Bagi memperkenal serta mempromosikan kepelbagaian budaya Orang Asli kepada masyarakat, Karnival Kebudayaan Orang Asli Peringkat Negeri Johor Tahun 2024 bakal diadakan pada 17 dan 18 Ogos ini di Kampung Orang Asli Sungai Layau, Kota Tinggi.

 

Selain itu, karnival berkenaan menjadi platform untuk melahirkan masyarakat berbudaya, memahami sejarah dan identiti bangsa serta mengumpul dan mengeratkan tali persaudaraan suku-suku kaum orang Asli yang terdapat di negeri ini.

 

Penganjuran Karnival Kebudayaan Orang Asli Peringkat Negeri Johor secara tidak langsung mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan masyarakat tersebut selain meraikan kepelbagaian budaya dimiliki.

 

Malah, hubungan akrab antara pemimpin kerajaan dan masyarakat Orang Asli di Johor sememangnya sudah lama terjalin lebih-lebih lagi melibatkan Institusi Diraja Johor serta pentadbiran Kerajaan Negeri yang diterjemah menerusi peruntukan lebih RM1 juta dalam Belanjawan Johor 2024 demi kesejahteraan mereka.

 

Peruntukan signifikan tersebut melibatkan pemberian tambahan elaun kepada Ketua Masyarakat Orang Asli atau Tok Batin, pelaksanaan Program Kampung Orang Asli Sejahtera serta penganjuran pelbagai program pembangunan dan kemasyarakatan.

 

Untuk rekod, terdapat 60 kampung orang asli di Negeri Johor dengan jumlah 4,979 keluarga terdiri daripada 18,854 penduduk dari lima etnik iaitu Jakun, Kuala, Seletar, Kanaq, dan Temuan yang sentiasa diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri dari aspek kesejahteraan serta kebajikan.

 

Karnival Kebudayaan Orang Asli Peringkat Negeri Johor Tahun 2024 akan menyajikan pelbagai aktiviti antaranya pameran kebudayaan dan adat resam mengikut etnik, pameran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), pertandingan sukan rakyat selain demonstrasi aktiviti kebudayaan yang membuka peluang kepada pengunjung mendalami sosiobudaya masyarakat Orang Asli.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor