MERAPATKAN JURANG WILAYAH MENERUSI PEMBANGUNAN LEBIH INKLUSIF

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bersama Bangsa Johor. | Foto arkib MDJ.

 

 

Oleh Prof. Madya Dr. Mohd Azhar Abd Hamid
Ketua Penyelidik, Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

 

 

Keprihatinan Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang secara tegas mahu 25 peratus daripada hasil cukai pendapatan negeri dipulangkan kepada Johor menyerlahkan penting peranan Institusi DiRaja Johor yang bukan sekadar lambang tradisi dan simbol warisan malah kepemimpinan strategik berwibawa serta berwawasan.

 

Titah Baginda Tunku secara terbuka dan kritikal terhadap agihan hasil Johor dengan Kerajaan Persekutuan telah mencerminkan Institusi DiRaja Johor sebagai penaung yang benar-benar mengambil berat kepentingan negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor dalam segenap aspek kehidupan.

 

Selain itu, penzahiran titah DYAM Tunku Mahkota Ismail ini turut meningkatkan kebitaraan dan kewibawaan Keluarga DiRaja Johor dalam hal ehwal pembangunan dan ekonomi negeri sekali gus menunjukkan bahawa Pemangku Sultan Johor memahami realiti ekonomi dan struktur fiskal negara serta berpandangan jauh dalam meneliti, menganalisis dan mencadangkan perubahan rasional berpaksikan kepentingan rakyat.

 

Kebijaksanaan Baginda Tunku ini menjadi pemangkin kepada pembaharuan dasar negeri di samping memperkukuhkan peranan Institusi DiRaja Johor sebagai penimbang dalam sistem Federalisme negara. Dalam konteks hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, institusi ini bertindak sebagai penjaga keadilan.

 

Secara jelas, apabila pihak Istana bersuara atas dasar keprihatinan dan kepentingan negeri, maka ia memberi tekanan moral yang kuat kepada Kerajaan Persekutuan agar bersikap lebih adil dan saksama terhadap agihan hasil serta sumber dan titah DYAM Tunku Mahkota Ismail ini memperlihatkan keunikan tiada tanding Institusi DiRaja Johor yang progresif, teknokratik dan tidak terpisah daripada denyut nadi rakyat.

 

Pemangku Sultan Johor telah membuktikan bahawa Raja bukan sahaja bertindak dalam kerangka adat dan budaya, tetapi menjadi suara kritikal dalam membela hak rakyat serta menjaga kedaulatan dan kepentingan negeri secara bijaksana mahupun berhemah.

 

Untuk itu, titah Baginda Tunku berkaitan pulangan 25 peratus cukai hasil pendapatan negeri merupakan satu gesaan reformasi fiskal berpaksikan prinsip keadilan, kecekapan dan kedaulatan negeri. Perjuangan DYAM Tunku Mahkota Ismail ini telah memberi harapan baharu kepada pembangunan sosioekonomi negeri. Malah semua yang dilakukan ini terang dan nyata menyerlahkan kebitaraan Institusi DiRaja Johor dalam memainkan peranan sebuah kepemimpinan yang aktif dan berani demi masa depan rakyat bahkan Negeri Johor secara keseluruhan.

 

Justeru, sekiranya pulangan 25 peratus hasil cukai pendapatan negeri ini direalisasikan, ia akan meningkatkan keupayaan kewangan negeri secara signifikan seterusnya akan membolehkan Johor memperkukuhkan belanjawan tahunannya tanpa terlalu bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan.

 

Keadaan ini akan memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk merancang dan melaksanakan projek pembangunan yang lebih besar, berimpak tinggi dan bersifat jangka panjang dengan lebih autonomi selain berpotensi memperkasa pembangunan infrastruktur serta perkhidmatan awam khususnya dalam bidang pengangkutan awam, kesihatan luar bandar, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) mahupun pembangunan digital.

 

Projek berimpak tinggi antaranya perluasan jaringan BRT (Bas Rapid Transit), pembinaan pusat kesihatan daerah dan pengembangan infrastruktur pendidikan boleh dilaksanakan dengan lebih pantas dan meluas sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat malah merangsang pembangunan wilayah-wilayah yang selama ini agak kurang mendapat tumpuan seperti daerah Mersing, Segamat, Endau dan Batu Pahat bahagian timur.

 

Dengan sumber kewangan lebih kukuh, Kerajaan Negeri juga dapat menyalurkan pelaburan secara lebih seimbang ke seluruh daerah sekali gus mampu mengurangkan jurang ketidaksamarataan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar serta membolehkan pelaksanaan program kesejahteraan rakyat secara lebih menyeluruh dan mampan.

 

Program bersifat mesra rakyat seperti penyediaan perumahan mampu milik, galakan keusahawanan tempatan, latihan kemahiran bagi golongan muda dan belia, serta jaringan keselamatan sosial boleh diperkukuhkan lagi. Hal ini secara langsung akan menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat Johor dan mengukuhkan daya saing ekonomi negeri di peringkat nasional serta serantau.

 

#WTN
#25%PulanganHasilCukai
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor