MEREALISASIKAN AGENDA MAJU JOHOR

Kerajaan Johor di bawah pimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor komited menjayakan agenda Maju Johor yang telah dilancarkan secara rasmi pada 13 Jun 2022 sebagai hala tuju pembangunan negeri yang inklusif, progresif dan mampan.
Oleh – YB Tuan Lee Ting Han
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor
1. Pada 13 Jun lalu, genaplah tiga tahun Kerajaan Negeri melancarkan agenda Maju Johor 2030 yang merangkumi enam teras utama iaitu kecekapan tadbir urus kerajaan, pembangunan ekonomi, jaringan keselamatan sosial, infrastruktur, keselamatan dan kesihatan awam, alam sekitar dan Orang Muda Johor.
2. Dengan pengemblengan usaha bersama seluruh rakyat Johor, pelbagai dasar dan inisiatif yang dirangka sebelum ini telah mula membuahkan hasil, membawa perubahan serta pencapaian yang nyata kepada negeri ini.
3. Antaranya, sektor ekonomi menunjukkan momentum yang amat memberangsangkan. Dalam tempoh tiga tahun ini sahaja, sebanyak 1,761 projek pelaburan telah diluluskan, mewujudkan lebih daripada 53,000 peluang pekerjaan secara langsung.
4. Kehadiran syarikat multinasional ternama seperti Microsoft, ByteDance, SuperMicro, Mercedes-Benz dan lain-lain turut mencerminkan peralihan pesat Johor ke arah struktur ekonomi berasaskan teknologi dan nilai tambah yang tinggi.
5. Dari segi infrastruktur, kerja-kerja pelebaran Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) telah pun bermula. Projek Kereta Api Berkembar JB-Gemas dan Sistem RTS Johor-Singapura kini hampir siap, manakala projek Autonomous Rail Transit (ART) dan naik taraf Lapangan Terbang Senai juga telah dimasukkan dalam agenda pelaksanaan.
6. Semua ini dijangka mampu mengurangkan tekanan kesesakan lalu lintas dan secara tidak langsung turut memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab pengangkutan serantau dan juga di Malaysia.
7. Selain itu, Kerajaan Negeri Johor juga telah memulakan langkah berani dengan melaksanakan program Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), di mana pelajar-pelajar yang terlibat akan menduduki peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) bagi meningkatkan penguasaan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) serta Bahasa Inggeris.
8. Kita juga telah menetapkan sasaran untuk mencapai sifar miskin tegar menjelang 2030, melalui bantuan bersasar kepada keluarga yang memerlukan.
9. Dalam menangani isu perumahan pula, Kerajaan Negeri menetapkan sasaran membina 100,000 unit rumah mampu milik, khusus untuk memenuhi keperluan golongan muda dan berpendapatan rendah. Pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA 2) pula menandakan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan awam bagi menampung keperluan rakyat yang semakin meningkat.
10. Melangkah ke hadapan, dua inisiatif strategik iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City dijangka membawa peluang anjakan paradigma kepada negeri ini.
11. Selari dengan pengisytiharan Tahun Melawat Johor 2026, pelbagai produk pelancongan dari segi budaya, ekologi dan beli-belah sedang giat disepadukan. Semua perkembangan ini merupakan sebahagian daripada ‘kad laporan’ positif hasil pelaksanaan Visi Maju Johor 2030 sejak ia dilancarkan.
12. Namun demikian, di sebalik pencapaian yang membanggakan ini, kita juga mendengar keluhan rakyat… iaitu masalah banjir masih berulang, isu bekalan air belum selesai dan kisah di sebalik kemajuan bandar raya Johor Bahru, masih ada anak-anak kita di kawasan pedalaman yang terpaksa meredah suasana gelap untuk ke sekolah. Isu kenaikan harga barang yang membebankan rakyat juga merupakan antara realiti kehidupan yang tidak boleh kita abaikan.
13. Oleh itu, ketika menilai kemajuan dalam tempoh tiga tahun ini, prinsip pembangunan berteraskan rakyat dan keseimbangan wilayah harus kekal menjadi teras dalam melaksanakan wawasan ini. Pembangunan ekonomi yang pesat mesti menyentuh semua lapisan masyarakat, tanpa meninggalkan golongan rentan.
14. Dalam membawa masuk pelaburan, kita perlu menitikberatkan kelestarian alam sekitar dan mengelakkan lebihan kapasiti, agar Johor dapat berkembang secara hijau dan mampan.
15. Kini, Johor berada di persimpangan sejarah. Untuk menjadi sebuah negeri maju, Johor mesti bukan sahaja kaya, tetapi juga berperikemanusiaan… bukan sekadar kuat, tetapi juga mampan.
16. Di pertengahan perjalanan menuju tahun 2030, pasukan kepimpinan negeri akan terus berpegang kepada prinsip berjiwa rakyat dan berorientasikan hasil, sentiasa menilai kelemahan dasar dan membuat penambahbaikan segera. Ini semua demi memastikan setiap Bangsa Johor dapat merasai manfaat pembangunan ini.
#WTN
#JohorMestiJadiJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor