‘MOMENTO’ TERAKHIR SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR KE-24

YB Tan Sri Dato’ Dr Haji Azmi bin Rohani akan memulakan tugas baharu sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, esok. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#JohorBahru – Majlis Penutup Program Jelajah Mesra: Menelusuri Dedikasi, Menyemai Legasi bukan sahaja berlangsung dengan penuh penghormatan tetapi juga menjadi majlis acara rasmi terakhir yang dihadiri oleh YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani selaku Setiausaha Kerajaan Johor.

 

Dalam ucapan terakhirnya pada majlis yang diadakan di Hotel Opero Southkey, Johor Bahru hari ini, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani turut memberi penekanan kepada Pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS) supaya memanfaatkan peluang kerjaya yang diberikan dengan sebaik mungkin agar mereka mampu menyampaikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat secara berterusan.

 

Dengan berbekalkan ilmu, pengalaman, kerjasama dan kelebihan yang dimiliki, penjawat awam seharusnya perlu menjadi barisan hadapan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta menyumbang kepada kemajuan Negeri Johor secara menyeluruh.

 

Beliau turut memuji kejayaan mewujudkan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) sebagai antara bukti bagaimana Pegawai Tadbir Negeri Johor mampu memainkan peranan besar dalam memacu kemajuan sama ada di peringkat tempatan atau negeri.

 

Sebagai simbol penghargaan dan kenangan terakhir, YB Tan Sri Dato’ Dr Hj Azmi turut menyempurnakan majlis penyerahan ‘momento’ kepada 40 ketua jabatan dari pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Johor. Pada majlis sama, beliau turut melancarkan penerbitan buku berjudul Kalam Jiwa iaitu sebuah karya nukilan peribadi yang turut menghimpunkan mutiara kata, pesanan dan nasihat beliau sepanjang menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.

 

Sejak dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Johor pada 1 Januari 2017, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani telah membawa pelbagai pembaharuan termasuk penstrukturan tadbir urus yang lebih dinamik dan strategik serta pengukuhan budaya kerja yang berteraskan integriti, kebijaksanaan dan ilmu.

 

Mulai esok, YB Tan Sri Dato’ Dr Haji Azmi akan memulakan tugas baharu sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara selepas pelantikan beliau ke jawatan berkenaan mendapat perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 23 Jun lalu.

 

Turut hadir ialah YB Dato’ Haji Mohammed Ridha Abd Kadir, Pegawai Kewangan Negeri Johor; YB Dato’  Haji Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru merangkap Presiden Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Johor; YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan); YB. Dato’ Haji Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan); YBhg. Puan Norliyati Md. Nor, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat) dan YB Dato’ Haji Onn Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Kesukarelawan).

 

#SUKJ

#SetiausahaKerajaanJohor

#BangsaJohor

#MediaDigitalJohor

#SahihTepatPantas

#MajuJohor