OPERASI LRA SIMPANG RENGGAM KEMBALI STABIL

Operasi LRA Simpang Renggam kembali stabil selepas paras air mentah di kawasan tadahan utama meningkat. | Foto FB Fazli Salleh
#IskandarPuteri – Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam kini kembali stabil susulan peningkatan paras sumber air mentah di beberapa lokasi tadahan utama di kawasan berkenaan.
Perkembangan positif itu membuktikan keberkesanan langkah intervensi serta pemantauan rapi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Johor dalam memastikan kelestarian sumber air negeri, jelas YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor.
Keadaan itu membolehkan LRA Simpang Renggam beroperasi pada kadar pengeluaran 61.1 juta liter sehari (MLD) daripada kapasiti reka bentuk 64 MLD, sekali gus memastikan bekalan air kepada pengguna di Kluang dan Pontian dapat dijalankan mengikut jadual.
Sementara itu, kesemua LRA di Negeri Johor kini beroperasi pada tahap 100 peratus, termasuk LRA Sembrong Timur yang sebelum ini beroperasi pada kadar lebih rendah. Ia secara tidak langsung menandakan sistem bekalan air negeri berada dalam keadaan stabil, terkawal dan berdaya tahan.
Walaupun keadaan telah pulih sepenuhnya, Kerajaan Johor tetap akan terus mempergiat pemantauan paras empangan dan sungai secara berterusan bagi memastikan bekalan air kekal terjamin, stabil serta mampu memenuhi keperluan rakyat dalam apa jua keadaan cuaca.
Terdahulu, Johor sebelum ini berdepan dengan situasi krisis bekalan air yang mencabar apabila paras Empangan Machap menurun di bawah paras minimum, manakala bacaan air di Sungai Ulu Benut menghampiri tahap berjaga-jaga akibat keadaan cuaca kering yang berpanjangan sejak lebih sebulan yang lalu.
#JohorSafeZone
#LRA
#SumberBekalanAir
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


