OPERASI PEMBENIHAN AWAN HARI KEDUA DITERUSKAN, TANGANI JEREBU DI JOHOR

Misi ke-61 itu menggunakan pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Subang, Selangor, dengan membawa lapan tan natrium klorida sebagai bahan pembenihan awan. | Foto FB AH SOON
#IskandarPuteri – Operasi Pembenihan Awan (OPA) kini memasuki hari kedua pelaksanaannya bagi meneruskan usaha menangani situasi jerebu yang telah menjejaskan tahap kualiti udara di Johor.
Bagi operasi hari ini, tumpuan OPA diberikan kepada kawasan antara Yong Peng hingga Machap serta Mersing hingga Kota Tinggi bagi merangsang pembentukan hujan, sekali gus membantu mengurangkan kepekatan partikel jerebu di udara.
Misi ke-61 OPA itu menggunakan pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Subang, Selangor, dengan membawa lapan tan natrium klorida sebagai bahan utama pembenihan awan.
Pelaksanaan operasi ini turut melibatkan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta No.20 Skuadron TUDM yang dikenali sebagai ‘The Rainmaker’.
Kerajaan Negeri sememangnya amat memandang serius situasi jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat, justeru kerjasama dengan agensi Persekutuan terus diperkukuh bagi melaksanakan langkah bersesuaian mengikut keadaan semasa.
Operasi OPA yang telah dilaksanakan semalam dilaporkan telah menghasilkan hujan di empat kawasan, iaitu Kluang, Senai, Kulai dan Kota Tinggi, sekali gus membantu usaha menangani situasi jerebu di Johor.
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, menyertai sendiri operasi berkenaan bersama agensi Persekutuan sebagai sebahagian daripada usaha bersepadu menangani jerebu di negeri ini.
#JohorSafeZone
#Jerebu
#OperasiPembenihanAwan
#METMalaysia
#NADMA
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


