VAPE BERISIKO JADI SALURAN PENYALAHGUNAAN DADAH, AADK JOHOR PERKASA PENCEGAHAN

YB Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyempurnakan Program Sinergi SKUAD Antidadah Negeri Johor (Attitude, Skill and Knowledge) 2026 di Hotel Granada, semalam, | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Johor terus memperkukuh usaha pencegahan penyalahgunaan dadah menerusi peningkatan kesedaran masyarakat terhadap ancaman dadah sintetik generasi baharu, termasuk risiko penyalahgunaan peranti ‘vape’ dalam kalangan pelajar.
Pengetahuan mengenai trend penyalahgunaan dadah semasa amat penting bagi membolehkan setiap anggota masyarakat dapat mengenal pasti risiko lebih awal dan membantu mencegah golongan sasar khususnya remaja daripada ancaman dadah jenis berkenaan yang agak membimbangkan.
Kebimbangan ini turut tertumpu kepada penggunaan peranti vape yang berpotensi disalahgunakan untuk mengambil bahan terlarang, sekali gus meningkatkan keperluan pendidikan pencegahan dan pengesanan awal, khususnya dalam kalangan pelajar.
Perkara itu juga turut menjadi perhatian pada Program Sinergi SKUAD Antidadah Negeri Johor (Attitude, Skill and Knowledge) 2026 yang disempurnakan oleh YB Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor di Hotel Granada, semalam.
Kerajaan Johor sentiasa berusaha menangani ancaman dadah dan usaha ini juga amat memerlukan setiap anggota masyarakat memahami perkembangan semasa penyalahgunaan bahan terlarang agar lebih peka terhadap tanda-tanda awal serta mengetahui tindakan yang perlu diambil bagi mendapatkan bantuan sewajarnya.
Sehubungan itu, program berkenaan turut menjadi platform untuk memperkasa ahli SKUAD Antidadah melalui peningkatan sikap, kemahiran komunikasi dan pengetahuan bagi menyampaikan mesej pencegahan secara kreatif, berkesan serta dekat dengan golongan belia.
Kerajaan Johor turut memberi penekanan terhadap kerjasama antara AADK, institusi pendidikan, agensi penguatkuasaan dan masyarakat bagi memperkukuh pencegahan sejak peringkat awal, termasuk melalui pendekatan pendidikan dan pembentukan sahsiah murid.
Usaha bersepadu ini mencerminkan komitmen ke arah merealisasikan aspirasi Johor Bebas Dadah, sekali gus melindungi generasi muda daripada ancaman penyalahgunaan bahan serta membina Bangsa Johor yang lebih sihat, selamat dan sejahtera.
#AADKJohor
#SKUADAntidadah
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



