PANTAI TELUK MAHKOTA BERWAJAH BAHARU


YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menyempurnakan perasmian Majlis Serah Terima Projek Naik Taraf dan Penyerahan Kunci Kepada Peniaga di Pantai Teluk Mahkota @ Jason Bay, Tanjung Sedili. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#KotaTinggi – Pantai Teluk Mahkota atau dikenali dengan Jason Bay kini berubah wajah apabila Kerajaan Negeri melalui Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) menaik taraf kawasan berkenaan bagi mewujudkan persekitaran lebih kondusif bagi penduduk setempat dan pengunjung.

 

Naik taraf melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM 950,238 itu meliputi penambahbaikan fasiliti dan infrastruktur iaitu taman permainan, tapak parkir, tandas awam, perparitan, kios penjaja, lintasan pejalan kaki tiga dimensi, kawasan rehat serta gerai ‘Esplanade’.

 

Inisiatif Belanjawan Johor 2024 itu bukan sahaja mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke Pantai Teluk Mahkota terutama menjelang Tahun Melawat Johor 2026 malah menghadirkan limpahan manfaat kepada peniaga dan penduduk sekitar selain berpotensi meningkatkan ekonomi setempat.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menyempurnakan perasmian Majlis Serah Terima Projek Naik Taraf dan Penyerahan Kunci Kepada Peniaga di Pantai Teluk Mahkota @ Jason Bay, Tanjung Sedili.

 

Pada majlis tersebut, berlangsungnya penyerahan kunci kepada 27 peniaga bagi ruang niaga Pantai Teluk Mahkota dan gerai ‘Esplanade’ Tanjung Sedili bagi fasa satu.

 

Hadir sama, YB Tuan Muszaide Makmor, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Sedili; YBhg. Encik Mohd Hafiz Aliman, Setiausaha Bahagian, Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor dan YBhg. Mohammad Nazrul Abd. Rahim, Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor