PARKIR DEPAN RUMAH TIDAK AKAN DISAMAN : EXCO KERAJAAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor memberitahu banyak pihak telah keliru mengenai isu berkenaan sedangkan tindakan penguatkuasaan hanya akan diambil berdasarkan aduan yang diterima oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit. | Foto MDJ: Wira Anggara

 

Telah berlakunya sebaran maklumat tidak tepat sehingga menimbulkan salah faham berhubung memo dan notis pemberitahuan daripada Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) mengenai isu meletakkan kenderaan di luar pagar rumah yang menjadi polemik baru-baru ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor memberitahu banyak pihak telah keliru mengenai isu berkenaan sedangkan tindakan penguatkuasaan hanya akan diambil berdasarkan aduan yang diterima oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit.

 

“Isu tentang saman ini kena betulkan balik kenyataan. Mereka yang meletakkan kenderaan di hadapan rumah, tidak dikenakan saman kecuali ada aduan dan kenderaan itu menghalang lalu lintas, menyebabkan kacau ganggu,” ulas beliau secara siaran langsung di laman Facebooknya.

 

Tambah Mohd Jafni, berdasarkan kenyataan MBPG sebelum ini, hampir 600 aduan kacau ganggu kenderaan melibatkan kenderaan menghalang, kenderaan lama dan terbiar serta kenderaan diletakkan di simpang jalan atau laluan utama yang diterima oleh pihak MBPG bagi tempoh tahun 2022 dan 2023.

 

“Yang mereka tularkan, maklumat yang tidak tepat. Jadi ia mengelirukan ramai orang, tetapi hakikatnya di Pasir Gudang ada (hampir) 600 aduan dalam dua tahun dan hanya satu tindakan diambil,” jelas beliau yang memberitahu PBT juga ada bertindak memberikan nasihat terlebih dahulu sebelum tindakan penguatkuasaan lain.

 

Dalam isu ini, tindakan berdasarkan aduan yang diterima MBPG diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333]; Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133]; Undang-Undang Kecil Vandalisme (Majlis Perbandaran Pasir Gudang ) 2011 serta Perintah Lalulintas Jalan (Peruntukan Mengenai Tempat Letak Kereta) Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang 2001.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor