MBPG MAHU MENJAGA KEHARMONIAN MASYARAKAT


Datuk Bandar MBPG, Dato’ Asman Shah Abd Rahman pada sidang media, petang tadi. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) hari ini, tampil memberikan penjelasan berhubung isu larangan meletakkan kenderaan di hadapan rumah yang telah berlakunya salah faham di media dan kalangan masyarakat.

 

Datuk Bandar MBPG, Dato’ Asman Shah Abd Rahman memberitahu notis pemberitahuan berkaitan sebelum ini, hanyalah memo dalaman dan masih di peringkat fasa perbincangan serta belum dilaksanakan.

 

“Undang-undang ini telah ada sekian lama. Cuma baru-baru ini berikutan aduan yang semakin meningkat mengenai isu parkir kenderaan, di pihak dalaman terpaksa melakukan satu mesyuarat bagi memperhalusi tindakan selanjutnya yang harus dibuat,” jelas beliau pada sidang media di Menara Aqabah, Pasir Gudang.

 

Tambah Asman Shah, pelaksanaan undang-undang kecil tersebut kelak akan dilakukan secara berfasa dengan memulakan usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat yang juga merupakan pembayar cukai terlebih dahulu.

 

“Isu parkir ini telah menjejaskan keharmonian kehidupan masyarakat secara berjiran sehingga menyebabkan pergaduhan sesama mereka. Oleh itu, pelaksanaan ini akan dibuat dengan cepat bermula dengan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu ini,” ujar beliau.

 

Selain itu, beliau memberitahu MBPG juga ada mengadakan perbincangan bersama pemaju bagi projek perumahan baharu untuk memastikan penyediaan ruang meletakkan kenderaan sentiasa mencukupi.

 

Tindakan berdasarkan aduan yang diterima menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) masih diteruskan, namun notis akan dikeluarkan terlebih dahulu kepada pemilik kenderaan sebelum kompaun dikeluarkan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor