PBT PERLU KREATIF MANFAATKAN KIOS KPKT

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor melakukan tinjauan ke salah satu pondok niaga disediakan KPKT. | Foto MDJ Wira Anggara
#Kulai – Kerajaan Negeri Johor menyeru semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini supaya memanfaatkan kemudahan pondok niaga atau kios yang disediakan di bawah inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengelakkannya menjadi projek ‘gajah putih’.
Bagi tujuan itu, semua PBT di Johor perlu lebih kreatif dan proaktif supaya kios ini bukan sahaja menjadi medan niaga yang mampu menarik peniaga dan usahawan, tetapi juga menjadi lokasi tumpuan orang ramai untuk berbelanja.
Menyahut saranan tersebut, Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan pendekatan membenarkan dua penama berkongsi satu kios menerusi pembahagian masa perniagaan kepada dua sesi, iaitu pagi dan petang, agar lebih ramai peniaga mendapat peluang untuk menjana pendapatan.
Selain itu, MPKu turut menawarkan insentif kadar sewa percuma bagi tempoh enam bulan kepada peniaga terpilih sebagai satu bentuk galakan untuk memulakan perniagaan di kios yang disediakan.
Justeru, faktor pemilihan peniaga yang sesuai, seperti yang berpengalaman dan mempunyai potensi jualan, juga penting bagi memastikan setiap kios yang diselia oleh PBT kekal ceria dan aktif.
Hal ini penting kerana inisiatif Kios KPKT diwujudkan bagi menyediakan persekitaran ruang niaga yang sah serta selamat kepada usahawan tempatan. Oleh itu, pihak PBT perlu lebih kreatif dalam merancang penggunaan kios agar tidak berlaku pembaziran sumber apabila ia tidak digunakan atau dimanfaatkan dengan sewajarnya.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, hadir merasmikan Program Karnival TVET dan Kerjaya Kulai 2025 di Dewan Raya Putra, Bandar Putra Kulai.
#KiosKpkt
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor