PDT KOLABORASI BERSAMA WORLD BANK GROUP, PEMAIN INDUSTRI


PDT menerusi anak syarikatnya iaitu Pusat Kelestarian Johor (JSC) telah menandatangani Surat Perjanjian Kerjasama (LoC) dengan World Bank Group bagi pelaksanaan Projek Kelestarian Di Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Johor menerusi Permodalan Darul Ta’zim Sdn. Bhd. (PDT) memeterai kerjasama bersama World Bank Group dan pemain industri pada Persidangan Minggu Iklim Asia Pasifik 2023 (APCW 2023).

 

Kerjasama dalam usaha menggerakkan pembangunan hijau yang mampan di negeri ini, secara holistik itu terjalin sekali gus menunjukkan kesungguhan dan iltizam Kerajaan Negeri menyumbang kepada usaha menangani kesan perubahan iklim di peringkat global.

 

PDT menerusi anak syarikatnya iaitu Pusat Kelestarian Johor (JSC) telah menandatangani Surat Perjanjian Kerjasama (LoC) dengan World Bank Group bagi pelaksanaan Projek Kelestarian Di Negeri Johor.

 

Selain itu, PDT bersama Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Johor dan Malaysia Forest Fund juga memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan Projek Kredit Karbon berasaskan Alam Sekitar dan Teknologi di negeri ini.

 

PDT turut menandatangani perjanjian bersama TNB Renewables Sdn. Bhd. (TNBRe) untuk pelaksanaan Projek Tenaga Boleh Diperbaharui yang melibatkan Projek Ladang Solar dan Solar Terapung Skala Besar Berpusat.

 

Terakhir, PDT menjalin kerjasama dengan UMW Industrial Power Sdn. Bhd. dalam pembangunan teknologi hijau di Johor di mana kedua-dua pihak menjadi rakan strategik penyedia teknologi sumber tenaga hijau dan pemudah cara kepada Kerajaan Negeri.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor