PEGAWAI DAERAH BATU PAHAT BERSARA WAJIB


YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor hadir menyerikan Majlis Lambaian Kasih Sedetik Bersama Seabad Terasa sempena persaraan YBhg. Tuan Haji Zainor Adani. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Selepas hampir 31 tahun menabur bakti berkhidmat di dalam sektor awam, YBhg. Tuan Haji Zainor Adani menamatkan perkhidmatannya apabila akan mula bersara wajib berkuat kuasa pada 27 Januari ini.

 

Menamatkan perkhidmatan sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat, perjalanan kerjayanya bermula sebagai Pegawai Tadbir di Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) sebelum menyertai warga Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (JCS) pada 1 Januari 1998.

 

Zainor menyifatkan perjalanan menabur bakti selama 27 tahun bersama Kerajaan Johor sebagai pengalaman bermakna dalam memimpin agama, bangsa dan negeri selepas diberi tanggungjawab berkhidmat sebagai Setiausaha Majlis Daerah Tangkak diikuti Ketua Penolong Pegawai Daerah di Kota Tinggi dan Segamat.

 

Antara jawatan signifikan yang pernah digalas oleh beliau termasuklah Pentadbir Tanah Daerah Tangkak, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Pegawai Daerah Kulai sebelum dilantik sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat pada 1 November 2023.

 

Selain itu, Zainor menitipkan doa agar Negeri Johor terus maju, menikmati kemakmuran dan sentiasa diberkati selain turut berkeyakinan perancangan strategik serta kebijaksanaan kepimpinan sedia ada mampu menjayakan aspirasi sebagai negeri maju menjelang tahun 2030.

 

Terdahulu, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor hadir menyerikan Majlis Lambaian Kasih Sedetik Bersama Seabad Terasa sempena persaraan YBhg. Tuan Haji Zainor Adani di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, hari ini.

 

Sementara itu, seramai 25 Pegawai Tadbir Negeri Johor yang terlibat dalam rombakan bagi mengisi kekosongan jawatan berikutan persaraan wajib dan pertukaran pegawai kanan menerima surat pertukaran disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Johor pada majlis berkenaan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor