PEJABAT SUK JOHOR AGIH 347 BEKAS DAGING KORBAN KEPADA ASNAF

YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dan YDH. Puan Sri Datin Dr. Hajah Noor Azizah Abdul Latif, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Johor hadir ke Program Ibadah Korban Perdana 2025/1446H anjuran Southern Volunteers Kota Iskandar (SVKI) bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Sebanyak 347 bekas daging korban diagihkan kepada golongan asnaf sempena Program Ibadah Korban Perdana 2025/1446H anjuran Southern Volunteers Kota Iskandar (SVKI) bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Johor yang berlangsung di kawasan tempat letak kenderaan Blok C, Bangunan Dato’ Jaafar Muhamad, Kota Iskandar, hari ini.

 

Program yang turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah disertai lebih 300 peserta yang terdiri daripada ahli SVKI dan kakitangan pelbagai jabatan yang bertugas di Kota Iskandar.

 

Sebanyak sembilan ekor lembu, termasuk lembu sado dan Gred A telah disembelih pada Program Ibadah Korban Perdana kali ini yang turut menghasilkan lebih 1,040 kilogram daging yang kemudiannya dilapah, dipotong dan dibungkus secara bergotong royong sebelum ia diagihkan kepada golongan asnaf terpilih.

 

Selain melaksanakan ibadah korban yang dituntut oleh agama, program ini secara tidak langsung turut mencerminkan keprihatinan Kerajaan Johor dalam memperkukuh nilai kebajikan dan semangat kepedulian kepada golongan memerlukan.

 

Hadir menyerikan program tersebut ialah YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dan YDH. Puan Sri Datin Dr. Hajah Noor Azizah Abdul Latif, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#IbadahKorban
#AidilAdha
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor