PELABURAN BROOKS AUTOMATION PACU JOHOR SEBAGAI DESTINASI INDUSTRI SEMIKONDUKTOR BERNILAI TINGGI

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian pembukaan fasiliti Brooks Automation. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#PasirGudang – Johor terus mengukuhkan kedudukan sebagai hab industri berteknologi tinggi apabila Brooks Automation, peneraju global dalam automasi semikonduktor dari Amerika Syarikat, merealisasikan pelaburan berjumlah RM245 juta menerusi pembukaan fasiliti baharu di Pasir Gudang.
Pelaburan berimpak tinggi ini turut menawarkan peluang pekerjaan bergaji kompetitif kepada warga tempatan melibatkan keseluruhan kira-kira 300 tenaga kerja selari dengan keperluan industri semikonduktor berteknologi maju.
Daripada jumlah tersebut, 83 jawatan berkemahiran tinggi ditawarkan gaji sehingga RM10,000 sebulan, dengan pemegang ijazah kejuruteraan menerima antara RM4,000 hingga RM4,500 sebulan diikuti pemegang diploma dan jawatan juruteknik pula sekitar RM3,000 hingga RM3,500 sebulan.
Tawaran gaji premium ini meletakkan Brooks Automation sebagai rakan strategik pelabur bernilai tinggi kepada Kerajaan Johor dalam usaha menyediakan peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi kepada rakyat Malaysia khususnya rakyat di negeri ini.
Selain itu, kehadiran Brooks Automation di Pasir Gudang turut membuka ruang penglibatan vendor tempatan dalam rantaian bekalan sekali gus memperkukuh ekosistem industri sokongan dan meningkatkan daya saing syarikat tempatan.
Inisiatif ini selari dengan hala tuju Kerajaan Negeri untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, memacu pemindahan teknologi dan membangunkan tenaga kerja mahir bagi menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang negeri.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian pembukaan fasiliti Brooks Automation, hari ini. Turut hadir, YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor serta YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor.
#JohorSafeZone
#WTN
#BrooksAutomation
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


