PELABURAN RM63.9 BILION BUKTI JOHOR TETAP MENJADI DESTINASI PILIHAN
ISKANDAR PUTERI — Negeri Johor mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan bernilai RM63.9 bilion bagi tempoh Januari hingga September lalu, berdasarkan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, pelaburan dicatatkan adalah hampir 33 peratus daripada angka pelaburan nasional yang direkodkan iaitu RM193.7 bilion.
Menurutnya, sektor perkhidmatan mendominasi pelaburan di negeri ini, dengan merekodkan pencapaian RM55.06 bilion diikuti perkilangan sebanyak RM8.84 bilion dan utama iaitu RM25 juta.
“Jumlah projek yang diluluskan oleh MIDA adalah sebanyak 340 projek manakala jumlah peluang pekerjaan yang dijangka dapat diwujudkan melalui pelaburan-pelaburan tersebut adalah sebanyak 11,968.
“Statistik ini menunjukkan Negeri Johor tetap menjadi destinasi pelaburan utama dalam negara bersandarkan ekosistem pelaburan dan perindustrian yang memenuhi kriteria para pelabur asing dan domestik.
“Ini termasuk penyediaan modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi, kestabilan politik di Johor, utiliti dan tanah yang mencukupi serta infrastruktur seperti pelabuhan dan kemudahan asas yang baik,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ting Han berkata, antara pelaburan diraih adalah pembangunan kilang pengeluaran peranti perubatan – Sistem Pengurusan Insulin Omnipod oleh Insulet Corporation dari Amerika Syarikat / Singapura.
Selain itu, GDS Holdings Ltd. Bridge Data Centres dari China serta YTL Power International Bhd. Malaysia yang membangunkan pusat data tersendiri secara berskala besar.
Pelaburan lain adalah Wiwynn Corporation dari Taipei yang menubuhkan fasiliti pembuatan papan litar bercetak.
Ujar beliau, dengan bertapaknya pelaburan seumpama itu, Negeri Johor dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor digital, peranti perubatan, pembuatan termaju serta industri sokongan berkaitan.
“Ini selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang menumpukan usaha menarik pelaburan berkualiti ke Malaysia dengan penghebatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi baharu
“Pelaburan-pelaburan tersebut juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berkualiti untuk Bangsa Johor selain meningkatkan daya saing negeri ini,” katanya.
Ting Han berkata, Kerajaan Johor juga mengalu-alukan inisiatif Pejabat Pelaburan Digital (DIO) untuk mewujudkan iklim perniagaan yang unik dalam menarik pelaburan projek digital.
“Ini terutamanya bagi pembangunan pusat data di negeri ini, yang menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan jumlah pelaburan yang diterima pada tahun ini.
“Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas usaha dan kerjasama pihak yang terlibat terutama penjawat awam JCS, MITI, MIDA, MDEC, IRDA, JPDC, Invest Johor, Pihak Berkuasa Tempatan, Johor Corporation dna lain-lain serta pihak swasta dan pertubuhan industri atas pencapaian sembilan bulan pertama tahun 2022 ini,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor