PEMIMPIN MUDA JOHOR BERTEMU TPM DEMI RAKYAT


Pemimpin muda Johor mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di ibu negara, baru-baru ini.

 

ISKANDAR PUTERI — Wakil rakyat Parlimen dan Ahli Majlis bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berperanan besar untuk membantu rakyat di kawasan diwakili.

EXCO Kerajaan Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kumpulan itu juga mempunyai peranan membantu kerajaan negeri dengan membawa suara akar umbi.

“Ahli Yang Berhormat, Ahli Parlimen dan Ahli Majlis juga memainkan satu peranan besar untuk rakyat di kawasan dan membantu kerajaan negeri dengan membawa suara-suara akar umbi bagi memastikan permohonan serta bantuan tidak dilupakan di Negeri Johor,” katanya seperti dipetik dari Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Mohd Hairi yang juga ADUN Larkin mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di ibu negara, baru-baru ini.

Pertemuan tersebut turut melibatkan pemimpin muda Johor lain yang memegang amanah dan tanggungjawab sebagai Ahli Yang Berhormat serta Ahli Majlis PBT.

Mohd Hairi berkata, pertemuan bersama Ahmad Zahid itu membawa misi membantu kerajaan sedia ada bagi menolong rakyat di kawasan masing-masing selaku penggerak muda di Johor.

Ujar beliau, menjadi harapan mereka agar pelantikan sebagai Ahli Yang Berhormat, Ahli Majlis dan Ahli Lembaga Pengarah memastikan kemakmuran di negeri ini, terus dibawa dan digerakkan bersama.

“Ini sekali gus menampakkan kami Pemuda sebagai tunjang negara, apa yang boleh kita bantu Kerajaan untuk memastikan Persekutuan dan Johor tidak terasing.

“Dengan Agenda Maju Johor yang dibawa YAB Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi selari dan seiring bersama bagi memastikan kesejahteraan Bangsa Johor terus terbela,” katanya.

Beliau juga menzahirkan keyakinan Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang baharu dapat menjamin kelancaran sebarang permohonan bantuan dan sebagainya demi kepentingan Bangsa Johor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor