PELBAGAI INSENTIF BANTU PETANI, PELADANG DI NEGERI JOHOR TAHUN 2022


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Pertanian Negeri Johor melaksanakan 46 projek dan program insentif menerusi peruntukan RM32 juta pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip berkata, jumlah peruntukan itu daripada tiga sumber iaitu kerajaan negeri sebanyak RM10 juta diikuti kerajaan persekutuan RM13.9 juta dan Penjana 2022 dengan RM7.9 juta.

“Insentif ini telah melibatkan atau memberi manfaat secara langsung kepada 10,959 usahawan tani,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Zahari berkata, di bawah Jabatan Pertanian Negeri Johor, terdapat pelbagai projek pembangunan menerusi tiga kategori insentif yang boleh disalurkan kepada golongan sasar.

Ujarnya, tiga kategori insentif itu adalah Pembangunan Tanaman Makanan, Pembangunan Industri Asas Tani dan Pembangunan Modal Insan.

Sementara itu, katanya, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memperuntukkan RM6.18 juta menerusi empat program yang memberi manfaat kepada 119 peserta pada tahun ini.

Katanya, LPP juga berperanan dalam usaha membantu dan memperkasa petani dan peladang dalam menjalankan aktiviti pertanian antaranya Geran Agropreneur Muda, Program Rise Up, Program E-Satelite dan Program Agriprentice.

Beliau turut memberitahu FAMA, MARDI dan LPNM, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pelbagai agensi atau jabatan lain turut berperanan membantu usahawan tani di Negeri Johor.

“Berdasarkan rekod tahun 2022, jumlah keseluruhan peruntukan pelbagai sumber sama ada daripda negeri atau persekutuan bagi pembangunan sektor pertanian di Negeri Johor menerusi lapan jabatan atau agensi adalah berjumlah lebih RM60 juta.

“Ianya adalah bagi pelaksanaan 149 program atau projek pembangunan dan telah memberi manfaat secara langsung kepada lebih 18,000 pengusaha dalam pelbagai subsektor pertanian di Negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Tangkak, Ee Chin Li berhubung skim bantuan yang disediakan kepada petani dan keberkesanan bantuan tersebut.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor